Janji MA63 pasti ditunaikan – Ahmad Zahid


Rakyat Sabah diberi jaminan mengenai perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang belum dilaksanakan sejajar komitmen kerajaan persekutuan untuk menunaikannya seperti dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

(Sabah Post) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, atas sebab itu, rakyat dan pemimpin di Sabah tidak perlu bimbang kerana beliau yakin Perdana Menteri akan menunaikan janjinya.

Katanya, beliau sendiri sudah berjanji kepada rakyat Sabah untuk memastikan janji dalam MA63 itu ditunaikan sepenuhnya seperti yang dituntut rakyat negeri ini.

“Soal MA63 jangan khuatir, insyaAllah Perdana Menteri tetap akan melaksanakan perjanjian yang belum tercapai dan tertunai.

“Saya juga menyatakan ini dengan cukup jelas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dulu (pada Januari 2020), saya akan melaksanakan mana-mana butiran perjanjian yang belum ditunaikan dan dilunaskan, insyaAllah kita akan lunaskan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tuaran, di sini, hari ini.

Presiden Umno itu berkata, janji adalah ibarat hutang yang wajib dibayar dan Sabah adalah negeri yang layak untuk diberikan ‘pelunasan’ bagi janji berkenaan.

Katanya, Sabah bukan saja layak menerima peruntukan untuk perbelanjaan atau kos bagi pembangunan tetapi lebih penting lagi ia berkaitan dengan soal maruah yang harus dijaga.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, atas sebab itu, apabila diberi amanah mengetuai kementerian berkenaan, beliau komited memastikan masyarakat desa atau luar bandar diberikan keutamaan dalam belanjawan dan Sabah adalah negeri yang menerima peruntukan terbesar.

“Ini bukan kerana Ketua Menteri tetapi saya lihat sendiri apabila saya ke kawasan pedalaman dan kampung serta kawasan masyarakat terpinggir, saya lihat pembangunan luar bandar di Sabah mesti diberikan keutamaan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, parti lain di bawah Kerajaan Perpaduan, khususnya di Sabah tidak perlu risau mengenai kedudukan Umno di negeri ini terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun depan.

“Umno adalah sebuah parti yang rasional, yang penting kita bersama-sama demi kepentingan rakyat Sabah dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

“InsyaAllah kita akan lakukan dengan baik dan sebelum tiba masanya apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan, jangan buat keputusan dan kenyataan yang tergesa-gesa.

“Masanya belum sampai, kita harus lebih rasional dan insyaAllah yang penting adalah rakyat jangan menjadi mangsa. Rakyat Sabah mesti dimajukan, kestabilan politik wajib diwujudkan di bumi Sabah ini,” katanya.



Comments
Loading...