BlackRock sudah lama di Malaysia, nilai pelaburan kini lebih RM32 bilion


BlackRock sudah sedia ada memiliki pelaburan ekuiti di dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia merangkumi keseluruhan sektor industri, dengan tiga entiti terbesar merupakan institusi perbankan di negara ini, berdasarkan data Bloomberg setakat Mei 2024.

(DagangNews) – Susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Jun, bahawa “BlackRock ada operasi atau pun syarikat yang ada kepentingan BlackRock, yang beroperasi di seluruh negara dan di pasaran saham”, data menunjukkan BlackRock mempunyai kepentingan dalam saham Bursa Malaysia bernilai RM24.7 bilion dan RM7.9 bilion dalam bon kerajaan dan korporat Malaysia.

Kenyataan Perdana Menteri tersebut adalah sebagai reaksi terhadap pihak-pihak yang menggesa dihentikan pelaburan Blackrock di Malaysia.

Menurut data yang boleh diperoleh secara terbuka, firma pelaburan global, BlackRock sudah sedia ada memiliki pelaburan ekuiti di dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia merangkumi keseluruhan sektor industri, dengan tiga entiti terbesar merupakan institusi perbankan di negara ini, berdasarkan data Bloomberg setakat Mei 2024.

Firma berpangkalan di Amerika Syarikat itu telah aktif melabur di Malaysia dengan jumlah nilai pasaran (MV) terkini ialah AS$4.3 bilion atau kira-kira RM24.7 bilion iaitu pelaburan ekuiti syarikat tersenarai sebanyak RM18.7 bilion dan bon sebanyak RM7.9 bilion.

Berdasarkan senarai pelaburan BlackRock di Malaysia, sektor perbankan merupakan tiga entiti tertinggi dilaburnya iaitu Public Bank sebanyak RM2.34 bilion (2.75%), diikuti Maybank RM2.16 bilion (1.88%) dan CIMB RM1.42 bilion (2.07%).

Tenaga Nasional di tangga keempat dengan pelaburan RM860 juta (1.32%); disusuli Metal Aluminium RM625 juta (1.62%); CelcomDigi RM526 juta (1.03%).

Berikut adalah senarai penuh 30 syarikat yang memiliki pelaburan BlackRock, berdasarkan data Bloomberg setakat Mei 2024:

Foto Dagangnews

Foto DagangNews

Foto DagangNews

Foto DagangNews

Dari segi bon, BlackRock memiliki pelaburan tertinggi di dalam Bon Kerajaan Malaysia sebanyak RM2.53 bilion; Petronas Capital (RM2.52 bilion); Terbitan-terbitan Bon RM1.57 bilion).

Berikut adalah senarai penuh mengikut data Bloomberg setakat Mei 2024:

Foto DagangNews

Foto DagangNews

Foto DagangNews

Foto DagangNews

Berdasarkan data Bloomberg di atas, adalah jelas BlackRock bukan pelabur baharu tetapi sememangnya sudah sedia aktif, malah memiliki pejabat operasinya di Malaysia.

BlackRock adalah syarikat pelaburan antarabangsa terbesar di dunia dan menguruskan aset global bernilai kira-kira AS$10 trilion. Ditubuhkan pada 1988, BlackRock telah mencapai kejayaan yang dramatik ke puncak dunia pelaburan, memainkan peranan pelaburan utama dalam kebanyakan ekonomi negara, termasuk Malaysia.

BlackRock dan dua lagi firma pelaburan seumpamanya iaitu Vanguard dan State Street dianggap secara meluas sebagai Pengurus Aset ‘The Big Three’ di seluruh dunia. Pengurus aset ini adalah antara pemilik terbesar syarikat dagangan awam.

`The Big Three’ ini memiliki Aset Di bawah Pengurusan (AUM) bersamaan dengan lebih 75% daripada KDNK Amerika Syarikat pada 2023 atau kira-kira 55 kali ganda KDNK Malaysia pada 2023!

Firma ini juga aktif melabur di negara Islam lain seperti Arab Saudi dengan nilai dana AS$24 bilion, Emiriah Arab Bersatu AS$8.6 bilion dan Indonesia AS$11 bilion.

Selain itu, BlackRock aktif di China dengan pelaburan bernilai AS$199 bilion dan India AS$148 bilion.
BlackRock terutamanya melaburkan dana untuk pelanggan melalui banyak syarikat dan dana. BlackRock juga menasihati kerajaan dan mempunyai hubungan rapat dengan White House dan Rizab Persekutuan AS.

BlackRock memainkan peranan utama dalam mengenengahkan keperluan syarikat korporat supaya mematuhi piagam pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG), dan telah menjadi sangat aktif dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan alam sekitar yang mampan.

Persoalan seterusnya ialah berdasarkan data di atas juga, mengapakah penyertaan syarikat sekutu BlackRock, GIP dalam cadangan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berbeza dengan pelaburan-pelaburan sedia ada firma ini di Malaysia?

Berdasarkan data pemegang saham MAHB, BlackRock sememangnya sudah memiliki 2.02% ekuiti bernilai RM286 juta di dalam syarikat pengendali lapangan terbang ini.

Ada pihak mahu urus niaga GIP di dalam MAHB dibatalkan, apakah seruan itu harus diperbaharui dengan meliputi keseluruhan pelaburan BlackRock ini? BACA: BlackRock tidak terlibat dalam penswastaan ​​Malaysia Airports, kata GIP

Faktanya, BlackRock melabur di dalam hampir 100 syarikat Malaysia – sebab itu pun fungsinya sebagai firma pelaburan. Dan kehadirannya sebagai pelabur global, membantu menyemarakkan minat pelabur am di Bursa Malaysia.

Tarik keluar semuanya dana BlackRock, anda boleh bayangkan apa bentuk kekacauan akan berlaku kepada sistem kewangan Malaysia.

Penganalisis ekonomi, Wan Mohd Farid Wan Zakaria berkata, “adalah penting untuk ambil perhatian bahawa BlackRock hanyalah salah satu daripada banyak pelabur institusi yang beroperasi dalam ekonomi Malaysia”.
“Pengaruhnya adalah sebahagian daripada landskap lebih luas pelabur domestik dan antarabangsa, institusi kewangan, dan pelakon kerajaan yang membentuk trajektori ekonomi Malaysia,” kata beliau.

Dalam senario sesebuah firma pelaburan global menarik keluar dana dari sesebuah negara, beliau berkata, ia boleh mencetuskan kemeruapan (volatility) dalam pasaran kewangan negara, membawa kepada penurunan mendadak dalam harga saham, nilai bon dan kadar pertukaran mata wang. Kemeruapan ini boleh mengganggu keyakinan pelabur dan memburukkan lagi ketidakstabilan ekonomi.

“Pengaliran keluar dana juga boleh memberi tekanan kepada rizab mata wang negara, yang membawa kepada penyusutan nilai mata wang dan potensi cabaran imbangan pembayaran.

“Ia juga boleh mengakibatkan penurunan penarafan kredit kerana penarikan dana global boleh memberi isyarat kepada agensi penarafan kredit dan pelabur bahawa prospek ekonomi negara yang terjejas telah merosot.

“Persepsi ini boleh menyebabkan penurunan penarafan kredit, menjadikannya lebih mahal bagi negara untuk meminjam di pasaran antarabangsa dan berpotensi menyekat akses kepada modal,” ujarnya yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM.

Rentetan daripadanya ialah penguncupan ekonomi di mana penarikan keluar dana global boleh mengurangkan kecairan dalam pasaran kewangan negara, menjadikannya lebih sukar bagi perniagaan untuk mendapatkan modal untuk pelaburan dan pengembangan.

Kekangan pelaburan ini boleh membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan atau malah kemelesetan, kerana perniagaan mengurangkan perbelanjaan dan pengambilan pekerja.

Secara keseluruhannya kata beliau, penarikan balik pelaburan dana global daripada negara individu boleh mempunyai implikasi yang luas terhadap ekonomi, pasaran kewangan dan kestabilan makroekonomi yang lebih luas.

“Oleh itu, isu MAHB ini perlu difikirkan secara mendalam oleh semua pihak dan tidak daripada satu sudut semata-mata, kerana implikasinya terhadap ekonomi Malaysia akan buruk. Adakah ekonomi Malaysia mampu untuk bertahan jika ini berlaku? ” soal beliau.

DagangNews.com



Comments
Loading...