Pengasas WikiLeaks, Julian Assange bebas
Julian Assange pulang ke Australia selepas dibebaskan dari penjara United Kingdom.
(Bernama) – Pengasas WikiLeaks, Julian Assange dibebaskan dari penjara United Kingdom dan terbang ke Australia, lapor Sputnik.
Terdahulu, dokumen mahkamah mendedahkan Assange dijangka mengaku bersalah atas tuduhan melakukan pengintipan ke atas Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada perjanjian rayuan dengan pendakwa raya persekutuan.
“Julian Assange bebas. Dia meninggalkan penjara keselamatan maksimum Belmarsh pada pagi 24 Jun selepas menghabiskan 1,901 hari di sana.
“Dia dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Tinggi London dan dibebaskan di Lapangan Terbang Stansted pada petang. Dia menaiki pesawat berlepas dari UK,” menurut WikiLeaks dalam hantaran di platform X.
Kenyataan itu mengesahkan laporan bahawa Assange mempunyai perjanjian dengan Jabatan Kehakiman AS, yang belum dimuktamadkan secara rasmi.
Warga Australia itu dipindahkan ke penjara keselamatan maksimum Belmarsh di London pada April 2019 atas tuduhan melanggar jaminan.
Di AS, dia menghadapi pendakwaan di bawah Akta Pengintipan kerana mendapatkan dan mendedahkan maklumat sulit mengaitkan jenayah perang serta pelanggaran hak asasi manusia oleh tentera AS di Iraq dan Afghanistan.