PAC sahkan penangkapan pegawai Felcra isu projek RM1.2 bilion


(Malaysiakini) – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesahkan penangkapan pegawai Felcra bulan lalu adalah berkaitan projek Menara Semarak 20 yang bermasalah.

Dalam sidang media hari ini ahli PAC Zahir Hassan (Pakatan Harapan-Wangsa Maju) menjelaskan penahanan itu hasil kerja gigih pegawai SPRM, yang terlibat secara aktif dalam prosedur PAC yang telus mengenai projek itu.

“Antara penemuan termasuklah juga contohnya bagaimana pengurusan projek Semarak 20 ini dijalankan.

“Pada awalnya pembangunan ini dirancangkan sebagai ‘design, build and finance’ tetapi dalam perjalanan projek itu bertukar kepada ‘design and build’ sahaja tidak masuk ‘finance’,” dedahnya.

Semarak 20 merupakan projek pembangunan bercampur yang terletak di Jalan Semarak. Ia termasuk Menara Felcra, bangunan pangsapuri 43 tingkat, pusat beli belah dan pusat konvensyen antarabangsa.

Projek itu dilancarkan pada Disember 2017, tetapi pembinaannya telah dihentikan di tengah-tengah krisis kewangan Felcra.

Pada 2019, Berita Harian melaporkan Felcra terbuka untuk berbincang dengan syarikat yang berminat untuk meneruskan pembangunan berkenaan, iaitu kira-kira 42 peratus siap ketika itu.

Bernama melaporkan pada 15 Mei bahawa dua pegawai kanan sebuah badan berkanun ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana daripada Kementerian Kewangan untuk projek pembangunan bernilai RM1.2 bilion.

Suspek dipercayai telah memindahkan sebahagian dana kepada kontraktor dan syarikat perunding untuk tujuan yang tidak berkaitan dengan pembangunan itu.

PAC menyentuh isu berkaitan Felcra Berhad, seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 mengenai pengurusan syarikat kerajaan persekutuan.

Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 menyatakan tunggakan hutang Felcra ialah RM312.22 juta setakat 31 Disember 2021, meningkat daripada RM82 juta tahun sebelumnya. Menjelang akhir 2021, Felcra juga berhutang kepada kerajaan sebanyak RM3.67 bilion.

Selain itu, kerajaan pusat tidak menerima dividen daripada Felcra antara 2019 dan 2021. Pada 4 Ogos 2022, Dewan Rakyat meluluskan penukaran RM312.22 juta pinjaman daripada pinjaman kerajaan kepada ekuiti.



Comments
Loading...