UiTM kekal untuk Bumiputera, kata menteri pengajian tinggi


(Malaysiakini) – Kerajaan hari ini memberi isyarat bahawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) kekal tidak akan dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera.

Sebaliknya, kerajaan dilihat mempunyai penyelesaian berhubung isu untuk membuka program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks universiti kepada bukan Bumiputera.

Bercakap di Parlimen hari ini, Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir berkata terdapat keperluan untuk mengekalkan kemasukan UiTM hanya untuk Bumiputera, atas alasan jurang sosioekonomi dengan bukan bumiputera.

“Laporan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 2024 oleh Kementerian Ekonomi menunjukkan masih terdapat jurang ekonomi melibatkan bumiputera dari segi purata pendapatan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan, pengeluaran tenaga kerja mahir serta kelayakan profesional.

“Malah kadar miskin mutlak dalam kalangan bumiputera masih memerlukan usaha secara berterusan untuk diperbaiki.

“Oleh yang demikian, pengekalan dasar UiTM untuk kaum Melayu, orang asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak ini masih diperlukan dalam usaha untuk merealisasikan hasrat kerajaan merapatkan jurang antara kaum terutamanya apabila melibatkan aspek sosio ekonomi,” kata Zambry di Dewan Rakyat hari ini.

Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) jika kerajaan akan meminda Akta UiTM untuk membuka kemasukan kepada bukan Bumiputera.

Dalam soalan susulan, Ramkarpal turut mempersoalkan sama ada institusi lain akan menawarkan program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks yang boleh didaftarkan oleh bukan bumiputera sebagai menangani kekurangan pakar dalam bidang tersebut.

Sehubungan itu, Zambry mendedahkan Universiti Malaya akan mula menawarkan program itu pada Oktober ini, dan ini akan diikuti oleh universiti lain.

 



Comments
Loading...