Badan Peguam gagal cabar keputusan AG dalam kes Zahid


Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan merujuk isu undang-undang tertentu kepada Mahkamah Persekutuan.

(FMT) – Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam memulakan prosiding semakan kehakiman mencabar keputusan peguam negara untuk menghentikan kes rasuah Zahid Hamidi.

Hakim Amarjeet Singh turut menolak permohonan Badan Peguam untuk merujuk isu undang-undang tertentu berhubung kes itu kepada Mahkamah Persekutuan.

“Perkara ini bukan sesuatu yang boleh disemak oleh mahkamah. (Peguam negara) juga tidak mempunyai kewajipan memberikan dokumen (berkaitan siasatan kes itu) kepada Badan Peguam,” kata hakim.

Peguam Steven Thiru mewakili Badan Peguam manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly mewakili peguam negara. Zahid diwakili Hisyam Teh selaku peguam.

Tahun lepas, Mahkamah Tinggi yang lain membenarkan Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas 47 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah.

Peguam negara memohon DNAA untuk Zahid berdasarkan representasi yang dibuat oleh pasukan pembelaan timbalan perdana menteri itu kepada pihak pendakwaan, menyatakan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia masih menyiasat perkembangan kes itu.

Dalam permohonannya tahun lepas, Badan Peguam meminta kebenaran membatalkan keputusan peguam negara mendapatkan DNAA bagi Zahid atas dakwaan ia ‘tidak munasabah dan dicemari dengan ketidakrasionalan’.

Badan Peguam juga memohon perintah mandamus agar peguam negara mendedahkan semua maklumat yang dipercayainya dan asas keputusannya dalam mendapatkan DNAA.

 



Comments
Loading...