Pemuda PAS bimbang ‘pisang berbuah dua kali’ di Nenggiri


(Harakah) – Dewan Pemuda PAS Gua Musang bimbang ‘pisang berbuah dua kali’ dengan mengulangi pengkhianatan yang berlaku di Nenggiri sekiranya pemilihan calon tidak dilakukan secara berhati-hati.

Ketuanya, Mohd Habidin Hanipa berkata, pihaknya mencadang calon diketengahkan daripada PAS dengan mengambil kira 90 peratus jentera pilihan raya daripada parti terbabit.

Malah, katanya berdasar tinjauan di lapangan dan media sosial (Medsos) penerimaan rakyat termasuk perantau melibatkan calon perlu diambil kira oleh pucuk pimpinan.

“Mengambil kesempatan muktamar ini Pemuda PAS Gua Musang menyuarakan pandangan agar kerusi DUN Nenggiri bagi PRK (Pilihan Raya Kecil) kali ini diberikan kepada PAS,” katanya pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Muktamar tersebut dirasmikan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mohd Asri Mat Daud.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK DUN Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos, manakala penamaan calon 3 Ogos.

PRK diadakan berikutan kerusi DUN Nenggiri diisytihar kosong ekoran bekas ADUNnya Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu menyatakan sokongan terhadap pihak lawan, melanggar Akta Anti Lompat Parti.

Mohd Habidin juga berkata, cadangan Dewan Pemuda PAS Gua Musang itu dibuat melalui muafakat pimpinan pemuda sebelum keputusan dibuat pucuk pimpinan.

Bagaimanapun kata beliau, Pemuda sedia walak terhadap keputusan dibuat pimpinan bagi memilih calon yang layak.

 



Comments
Loading...