Kami tak perlukan Syed Abu Hussin – Umno Bukit Gantang


Pihaknya tidak akan menerima pengkhianat seperti dilakukan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

(Harian Metro) – “Kami dah ada calon sendiri, kami tak perlukan Syed Abu Hussin mewakili Umno,” kata Ketua Umno Bukit Gantang Mohammad Sollehin Mohamad Tajie ketika ditanya mengenai calon dari Barisan Nasional sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di Bukit Gantang nanti.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan menerima pengkhianat seperti dilakukan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Pengkhianatan yang dibuat beliau (Syed Abu Hussin) masih lagi terasa, masih berdarah…jadi untuk menerima beliau sebagai calon mewakili Umno adalah mustahil.

“Nak patah balik Umno boleh tapi ahli biasalah, tolong saya pacak bendera (parti), tapi bukan sebagai calon (sekiranya berlaku PRK),” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bukit Gantang di sini, hari ini.

Menurutnya, sekiranya PRK berlaku, pihaknya akan meletakkan calon pilihan mereka, Ahmad Saidi Mohamad Daud yang juga Naib Ketua Umno Bukit Gantang.

“Sekiranya mimpi ngeri berlaku, pihak atasan (Umno) mahu meletakkan calon lain atau Syed Abu Hussin di sini, maka kami tidak akan memberikan sebarang komitmen.

“Sebagai ketua bahagian di sini, saya tak terima orang seperti ini dan ini kerja gila kita nak tolong orang yang pernah khianat kita,” katanya.

Terdahulu, Syed Abu Hussin dalam sidang media hari ini di pejabatnya menyatakan kesediaannya bertanding mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang sekiranya berlaku PRK.



Comments
Loading...