PRK Nenggiri: Mohd Azizi akan bantu berkempen calon Umno


Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim akan membantu berkempen untuk calon Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.

(Harian Metro) – Katanya, sesiapa saja calon yang dipilih oleh Umno, beliau akan membantu sebaik mungkin bagi memastikan kerusi berkenaan dimenangi oleh parti itu.

“Memandangkan saya menyokong Kerajaan Perpaduan, sudah tentu saya akan menyokong calon daripada Umno yang akan bertanding di DUN Nenggiri nanti.

“Saya akan menggunakan pengalaman yang saya ada bagi mendekati pengundi dalam usaha memenangkan kerusi berkenaan.

“Walaupun saya tidak bertanding, namun saya akan berkempen untuk calon dari Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Mohd Azizi memaklumkan beliau tidak akan bertanding semula di kerusi berkenaan dan tidak akan sesekali menjadi calon Bebas.

Menurutnya, beliau sedia memberi laluan kepada komponen parti lain untuk bertanding di kerusi yang disandangnya.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

Pada PRN yang berlangsung pada Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff yang memperolehi 5,707 undi.



Comments
Loading...