Jangan buang masa ‘tebuk atap’, Adun PN mahu Anwar diberi ruang habis penggal
Sebelum ini timbul spekulasi menjatuhkan kerajaan, terbaru dakwaan pemimpin PAS Annuar Musa ada 11 Ahli Parlimen BN mungkin alih sokongan.
(FMT) – Seorang Adun Perikatan Nasional (PN) menggesa komponen itu menghentikan ‘cakap-cakap’ rancangan mahu menjatuhkan pentadbiran Anwar Ibrahim, sebaliknya memberi peluang presiden PKR menghabiskan penggalnya.
Adun Sungai Tiang, Razak Khamis, menegaskan kenyataan berterusan dibuat segelintir pemimpin PN untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih selepas PRU15 sebagai membuang masa.
“Saya pun tak semuanya setuju dengan Anwar tapi kita kena hormat keputusan rakyat dah pilih kerajaan, jadi kita bagi peluang dia tadbir sampai habis penggal kemudian kita masuk PRU sekali lagi.
“Tapi sampai hari ini kita dok (selalu) bercakap nak jatuhkan tapi tak jatuh pun kerajaan sampai sekarang,” kata Ketua Bersatu Pendang dan timbalan speaker DUN Kedah kepada FMT.
“Buang masa kita sahaja, lebih baik jaga rakyat di kawasan. Saya kata perkara ini kepada kawan-kawan dan memang ada tak seronok dengar.”
Akhir tahun lalu, media melaporkan dakwaan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Ismail Yusop, wujud ‘Langkah Dubai’ membabitkan pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan blok kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Episod itu dikatakan untuk menumbangkan kerajaan Anwar yang turut membabitkan tokoh politik veteran berpengaruh bergelar Tun menggunakan dana asing.
Minggu lalu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Annuar Musa pula mendakwa ada 11 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan mengalihkan sokongan sekali gus menjatuhkan kerajaan perpaduan.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu mendakwa, sokongan kepada calon perdana menteri baharu akan diberikan jika Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul tidak mengosongkan enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah.
Dakwanya, langkah itu juga akan diikuti oleh Ahli Parlimen daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan yang kini bersama kerajaan perpaduan, selain disokong wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).