Malaysia masih buru Jho Low, tak ada kaitan dengan perjanjian DOJ


Perjanjian penyelesaian di antara Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) dengan Low Taek Jho atau Jho Low, adalah perkara berasingan dengan tindakan Kerajaan Malaysia yang masih memburu ahli perniagaan terbabit.

(Berita Harian) – Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata perlu dibezakan di antara tindakan Malaysia yang sedang mencari Jho Low dengan langkah diambil DOJ itu.

Beliau berkata, DOJ mempunyai tindakan jenayah tersendiri yang dikenakan terhadap Jho Low.

“Apa-apa yang dia mahu buat ke atas Jho Low, itu hak dia (DOJ) tetapi apa-apa saja ‘recovery’ yang dia buat, dia akan bagi balik duit itu kepada Malaysia.

“Kita punya isu sekarang ini adalah mengenai perjanjian penyelesaian yang telah dibuat waktu kerajaan sebelum ini dengan Goldman Sachs yang mana mereka akan bayar tambahan AS$1.4 bilion (RM6.59 bilion) daripada AS$2.5 bilion (RM11.78 bilion) yang dijanjikan.

“AS$2.5 bilion sudah dibayar dan dia (DOJ) beri jaminan untuk bayar AS$1.4 bilion. Dekat sini ada pertikaian sebab dia tak nak bayar kerana mereka kata kita sudah dapat banyak duit, sedangkan tidak, kita masih belum peroleh semuanya lagi,” katanya.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB kali ke-30 2024 di sini hari ini.

Baru-baru ini Jho Low dilaporkan akan menyerahkan harta bernilai lebih AS$100 juta (RM471 juta), termasuk sebuah apartmen mewah di Paris dan karya seni Claude Monet dan Andy Warhol.

Tindakan itu dibuat bagi menyelesaikan kes pelucutan hak sivil berhubung peranannya dalam skandal rasuah dan penyelewengan dana syarikat pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Aset yang dilucut hak itu adalah tambahan kepada hampir AS$1 bilion (RM4.19 bilion), termasuk ‘superyacht’ bernilai AS$120 juta (RM503 juta) yang Jho Low dan keluarganya dilucut hak sebelum ini.



Comments
Loading...