Pembangkang persoal kedudukan Zulkafperi di Dewan Rakyat


Seorang ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan kedudukan terkini Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjong Karang) di Dewan Rakyat.

(Berita Harian) – Perkara itu dibangkitkan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) selepas mendapati Zulkafperi dipindahkan dan diletakkan antara blok kerajaan serta pembangkang.

Beliau ketika mencelah pada sesi pertanyaan jawab lisan turut membangkitkan Peraturan Mesyuarat bagi mempertikaikan kedudukan terkini Zulkafperi.

“Minta petua pengerusi (Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau), saya nak tahu kedudukan Tanjong Karang (Zulkafperi), adakah di pihak kerajaan atau pembangkang?” soalnya.

Alice dalam penjelasannya kemudian mempersoalkan peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat yang digunakan Che Mohamad ketika mempertikaikan kedudukan Zulkafperi itu.

“Tiada Peraturan Mesyuarat disebutkan, jadi sila duduk dan jangan bazir masa (persidangan Dewan Rakyat),” katanya.

Bagaimanapun, Che Mohamad yang tidak berpuas hati dengan penjelasan Alice kemudian menyifatkan Ahli Parlimen Lanang itu tidak layak mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat.

Keadaan itu turut mengundang pertikaman lidah antara Che Jusoh dan Alice yang berlarutan kurang lima minit.

Che Jusoh: Susunan (kedudukan Zulkafperi). Puan, saya ingin penjelasan, di mana kedudukan nombor empat…

Alice: Sila duduk, sila duduk, jangan bazir masa.

Che Jusoh: Saya tak bazir masa, saya ingin minta penjelasan, puan. Ini mesyuarat (persidangan Dewan Rakyat).

Alice: Nanti baru minta penjelasan, sila duduk.

Che Jusoh: (Dengan) siapa yang nak minta penjelasan sekarang?

Alice: Nanti minta penjelasan daripada Speaker (Tan Sri Johari Abdul).

Che Jusoh: Ahhh, sudah macam ini, tak layan langsung.

Alice: Kalau tak puas hati (dengan penjelasan), sila keluar.

Che Jusoh: Kena adil puan, pengerusi kena adil.

Alice: Sila duduk.

Sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat kemudian bersambung seperti biasa sejurus pertikaman lidah itu

BH semalam, melaporkan enam ahli Parlimen yang digugurkan keahlian daripada BERSATU belum memuktamadkan keputusan untuk mempertahankan kerusi disandang mereka, jika pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan.

Keenam-enam ahli Parlimen itu membuat ketetapan berkenaan selepas yakin kerusi disandang mereka tidak akan dikosongkan.

Sebelum ini, enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Selain Zulkafperi, ahli Parlimen lain ialah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Seorang lagi, ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

 



Comments
Loading...