‘Tidak berlaku krisis Perlembagaan jika kerusi 6 Ahli Parlimen BERSATU tidak dikosongkan’


“Bagi Dewan-dewan dalam Commonwealth, keputusan satu dewan kepada satu dewan yang lain tidak ‘binding’, tetapi ia persuasif sahaja.

(Berita Harian) – Tidak berlaku krisis Perlembagaan seperti didakwa sesetengah pihak jika Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengambil keputusan tidak mengosongkan enam kerusi Parlimen dari BERSATU yang mana ahlinya terhenti menjadi ahli parti berkenaan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, berkata Dewan Rakyat tidak terikat dengan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang mengosongkan kerusi DUN Nenggiri yang mana seorang daripada enam Ahli Parlimen terbabit juga penyandangnya.

Katanya, Speaker Dewan masing-masing mempunyai hak tersendiri berhubung keputusan mengenai pengosongan kerusi secara luar jangka yang membabitkan tafsiran kepada undang-undang mengenainya, dengan ia harus dihormati.

Beliau malah berkata, bagi Dewan yang berada dalam sistem Commonwealth, keputusan sesuatu Dewan kepada Dewan yang lain tidak bersifat mengikat (binding), sebaliknya hanya bersifat persuasif iaitu boleh digunakan sebagai rujukan namun tidak mengikat.

“Dia tak akan ada krisis Perlembagaan, kerana keputusan tafsiran itu terpulang kepada Yang di-Pertua Dewan masing-masing dan memang itu ialah hak Yang Dipertua Dewan. Kalau tiada Speaker seperti masa sejurus selepas sesuatu pilihan raya umum, hak menentukan (tafsiran) itu jatuh kepada Setiausaha Dewan.

“Bagi Dewan-dewan dalam Commonwealth, keputusan satu dewan kepada satu dewan yang lain tidak ‘binding’, tetapi ia persuasif sahaja. Kita boleh guna amalan itu sebagai sebagai rujukan tetapi dia bukan ‘binding’ yang bererti tak semestinya Dewan Rakyat kena buat keputusan sama dengan Dewan Negeri, atau Dewan Negeri kena ikut Dewan Rakyat.

“Mengikut perundangan, keputusan untuk menentukan bahawa ada kekosongan luar jangka akhirnya terletak kepada Speaker Dewan yang berkenaan. Speaker DUN Kelantan, begitu tafsirannya dan Speaker Dewan Rakyat kita belum tahu lagi, begitu juga saya difahamkan dengan keputusan Speaker DUN Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media sempena pelaksanaan Mesyuarat Kedua, Tahun Kedua, Dewan Negeri ke-15, Perak Darul Ridzuan hari ini.

Hadir sama Setiausaha Dewan Negeri Perak, Abdul Majid Abdul Rahim; dan Timbalan Speaker DUN Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy Tsi Jen.

Sebelum ini, media melaporkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan sudah menerima notis daripada BERSATU pada 21 Jun lalu meminta enam kerusi Parlimen wakil rakyat mereka itu dikosongkan.

Johari berkata beliau mempunyai masa selama 21 hari menurut undang-undang untuk membuat keputusan.

Sebelumnya, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands turut dilapor berpandangan bahawa krisis perlembagaan tidak akan berlaku walaupun Speaker Dewan Rakyat memutuskan enam Ahli Parlimen berkenaan kekal pada kedudukan mereka sehingga habis penggal.

Sementara itu, Mohammad Zahir berkata dua usul persendirian yang masing-masing diterima daripada dua wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji dan ADUN Simpang Pulai dijangka menjadi tumpuan dalam Persidangan DUN Perak yang akan berlangsung pada 9 hingga 11 Julai ini.

Dua usul berkenaan adalah mengenai cadangan memperkenalkan Enakmen atau Peraturan baharu berkaitan pengawalan haiwan-haiwan berkeliaran di Perak dengan mewujudkan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan yang dianggotai oleh Ahli-Ahli Dewan Negeri yang berkenaan; serta usul mengenai cadangan mengadakan persidangan khas bagi menangani isu fenomena cuaca ekstrim dan perubahan iklim serta banjir kilat yang akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat negeri ini.



Comments
Loading...