Tak rasmi, PH jauh ketinggalan, hanya 3 peti undi belum dikira


Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap menyaksikan saingan satu lawan satu antara PH dan PN (PAS).

(BH) – PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail secara tidak rasmi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap hari ini.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Naib Yang Dipertua PAS itu meraih 13,725 undi meninggalkan pencabarnya, Joohari yang memperoleh 9,816 undi dengan majoriti 3,909 undi.

Keputusan tidak rasmi itu diperoleh menerusi kiraan 63 daripada 66 saluran peti undi setakat jam 7.45 malam.

7.40 malam: Rafizi kaitkan dengan peratusan keluar mengundi rendah

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa keputusan malam ini mencerminkan peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan bukan Melayu.

Dalam catatan di X, Rafizi berkata analisis awal menunjukkan peratusan pengundi Melayu adalah 70 peratus, manakala hanya 47 peratus pengundi Cina dan 58 peratus pengundi India keluar mengundi.

“Dengan jumlah keluar mengundi yang sangat berbeza di antara pengundi Melayu dan bukan Melayu, kerusi Sg Bakap menjadi kerusi majoriti besar Melayu (saluran-saluran bertukar dari Melayu-Bukan Melayu 55:45 kepada 75:25).

“Walaupun ada sedikit peralihan undi Melayu, keputusannya banyak dipengaruhi jumlah pengundi yang keluar,” katanya.

7.30 malam: PN mendahului PH

Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail mendahului Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin setakat jam 7.30 malam ini.

Berdasarkan kiraan undi tidak rasmi, Abidin meraih 9,528 undi meninggalkan pencabarnya, Joohari yang memperoleh 7,370 undi dengan majoriti 2,158 undi.

Keputusan tidak rasmi itu diperoleh menerusi kiraan 47 daripada 65 saluran peti undi.

7 malam: Keputusan tidak rasmi. Walaupun PH mendahului Undi Pos, kiraan tak rasmi setakat ini menunjukkan PN kini mendahului PH.

Setakat jam 7 malam, PN mempunyai lebih 1,300 undi setakat ini, manakala PH mempunyai sekitar 1,000 undi.

6.15 petang: MP Bayan Baru, Sim Tze Tzin menerusi X menyatakan PH mendahului 7 undi dalam kiraan Undi Pos apabila calon PH mendapat 63 undi manakala PN dapat 56 undi

6 petang: Tepat jam 6 petang, kesemua sembilan pusat mengundi ditutup sekali gus berakhirlah tempoh pengundian yang bermula sejak jam 8 pagi tadi.

Kini tumpuan beralih kepada proses pengiraan undi dan keputusannya bagi memuktamadkan siapakah bakal mengisi kekosongan pada kerusi berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi bagi PRK DUN Sungai Bakap sebanyak 57.77 peratus setakat jam 4 petang tadi.

Rekod kiraan terakhir bagi kadar peratusan keluar mengundi secara keseluruhan akan dimaklumkan ketika pengumuman kemenangan calon malam nanti.



Comments
Loading...