‘PN yang jadikan kami Ahli Parlimen bebas’ – Suhaili


“Yang menjadikan kami Ahli Parlimen Bebas ialah Perikatan Nasional (PN),” kata Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman.

(Harian Metro) – Beliau yang juga wakil enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedudukan mereka di Dewan Rakyat terletak di tangan Speaker, Tan Sri Johari Abdul.

“Status kami Ahli Parlimen Bebas adalah disebabkan Perikatan Nasional. Di mana kami duduk, insya-Allah, Speaker yang menentukan.

“Kerana ini jelas, kami angkat sumpah bukan di hadapan Presiden parti kami. Tidak. Kami angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di hadapan Speaker Dewan Rakyat. Jadi, nasib kami di tangan dia sekarang,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Hadir sama dalam sidang media itu, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Semalam dilaporkan, enam bekas Ahli Parlimen Bersatu itu yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Anwar kekal sebagai wakil rakyat.

Dalam pada itu, Suhaili menyatakan pihaknya enggan memberikan komen berkait keputusan dibuat Speaker itu yang akan menyebabkan Ahli Parlimen pembangkang lain mengikut jejak langkah sama.

“Wallahualam. Yang itu saya tak berani nak komen. Kerana kita tidak berhasrat untuk memporak-perandakan Dewan Rakyat. Tidak.

“Kalau mereka berpandangan dan berpendapat keputusan kami ini adalah baik, kerana mereka sekarang menjadi ahli pembangkang yang tiada peruntukan.

“Tetapi meraung-raung, menjerit-jerit meminta peruntukan daripada kerajaan. Kenapa tidak ikut kami mula-mula? Kita membuat keputusan sokong kerajaan kerana satu sebab mudah. Kita perlu peruntukan Parlimen. Itu saja,” katanya.

Beliau turut menegaskan keputusan Bersatu untuk mengambil tindakan perundangan berkait keputusan Speaker itu adalah hak parti berkenaan.

“Itu hak dia. Kalau misal kata mereka fikir ada ruang lagi untuk mereka pertikaikan keputusan Speaker, silakan. Ini negara demokrasi. Kita tak boleh halang,” katanya.



Comments
Loading...