Ahmad Faizal Azumu undur, serah jawatan Timbalan Presiden BERSATU kepada Hamzah
Menjelang pemilihan parti Oktober ini, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan berundur dari jawatannya untuk memberi laluan kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
(Berita Harian) – Beliau berkata secara rela hati mengambil keputusan itu dan sudah berbincang dengan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan segala perundingan sudah dilakukan.
“Ini satu cadangan daripada Presiden bagi mengelakkan berlaku sebarang pertembungan.
“Jadi dalam perundingan tersebut, kita telah bersetuju saya berundur tidak menawarkan diri sebagai Timbalan Presiden dan Datuk Seri Hamzah diminta oleh akar umbi dan kepimpinan untuk mengambil alih jawatan disandang saya ketika ini.
“Bagaimanapun, sudah tentu peranan saya dan rakan-rakan tetap berada dalam barisan kepimpinan.
“Perkara paling penting adalah kita memastikan pasukan BERSATU ini akan terus kekal berjuang demi Allah SWT dan rakyat.
“Perjuangan untuk rakyat itu kita utamakan melebihi kepentingan mana-mana seorang ahli politik. Itu yang telah berjaya kami lakukan.
“Kami bangga tentang itu dan saya harap perkara ini akan jadi teladan buat orang lain kerana di dalam BERSATU, kita cuba memimpin melalui teladan,” katanya ketika ditemui media sejurus selesai menghadiri
Taklimat Peraturan Persidangan BERSATU Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), dekat sini, hari ini.
Turut hadir dua penyandang jawatan Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Dr Ronald Kiandee.
Ahmad Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin semalam yang mengesahkan pihaknya diberi mandat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk berunding dengan barisan pimpinan parti agar tidak berlaku perpecahan akibat pemilihan pada Oktober depan.