Hamzah ‘naik pangkat’ untuk hadapi tekanan PAS, kata penganalisis


Azmi Hassan berpendapat rancangan Bersatu meletakkan Hamzah Zainudin sebagai timbalan presidennya adalah kerana parti itu memerlukan tokoh selain Muhyiddin Yassin.

(FMT) – Seorang penganalisis berpendapat rancangan meletakkan Hamzah Zainudin sebagai timbalan presiden Bersatu adalah kerana parti itu memerlukan tokoh selain Muhyiddin Yassin yang berdepan tekanan sekutunya PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata pengalaman luas Hamzah dalam politik serta pentadbiran kerajaan selain memegang jawatan ketua pembangkang mampu mengekalkan kedudukan Bersatu sebagai peneraju PN walaupun PAS memiliki kerusi terbanyak.

Menurutnya, aura Ahmad Faizal Azumu sebagai timbalan presiden tidak menonjol berbanding Hamzah yang dilantik mengetuai blok pembangkang di Parlimen sedangkan Muhyiddin adalah pengerusi PN.

“Hamzah dilantik ketua pembangkang untuk dilatih ganti Muhyiddin, jadi tak memeranjatkan bila ada cadangan naikkan pangkat Hamzah dari setiausaha agung ke timbalan presiden tanpa pertandingan.

“Ini (angkat Hamzah sebagai timbalan presiden) bukan saja kuatkan Bersatu sebagai pembangkang tetapi menawan atau berdepan PAS dalam PN,” katanya kepada FMT.

Sabtu lalu, Muhyiddin berkata Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dicadangkan memegang jawatan sebagai timbalan presiden, manakala Azmin Ali sebagai setiausaha agung parti, menerusi ‘pelan kompromi’ bagi mengelakkan pertembungan bagi jawatan tertinggi.

Mengikut rundingan, Faizal sedia berundur setapak untuk bertanding naib presiden bersama dua penyandang Ronald Kiandee dan Radzi Jidin pada pemilihan parti Oktober ini.

Mengulas lanjut, Azmi bagaimanapun berkata tindakan Bersatu itu boleh mendedahkan kepada serangan lawan terutama Umno dan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini mengkritik ‘pusingan u’ dibuat Muhyiddin.

“Muhyiddin umum tak mahu tanding tetapi setelah dipujuk Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu beliau ubah fikiran.

“Jadi demokrasi ini boleh diserang lawan,” katanya.

Bagaimanapun, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpendapat pelan itu sebagai perkara biasa dalam usaha Bersatu menjaga kestabilan parti dan telah diamalkan parti lain termasuk PAS.

“Jawatan presiden PAS sudah lama tidak dipertandingkan kecuali 2015 apabila Hadi Awang dicabar Ahmad Awang tetapi selepas itu tiada, begitu juga Umno (tiada pertandingan presiden dan timbalan) pada 2023 untuk stabilkan parti.

“Jadi apa yang berlaku dalam Bersatu ini normal, jawatan itu mungkin tidak dipertandingkan kerana memikirkan kemungkinan boleh membawa mudarat dan perpecahan kepada Bersatu,” katanya.



Comments
Loading...