Zahid terbuka jika jawatan Presiden, Timbalan Presiden Umno ditandingi


Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sentiasa terbuka sekiranya dua jawatan utama dalam parti itu dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

(Harian Metro) – Namun, Dr Ahmad Zahid berkata, semuanya bergantung kepada keputusan yang akan dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan juga Perhimpunan Agung Umno (PAU).

Beliau berkata, mengikut Perlembagaan Umno, pemilihan parti diadakan setiap tiga tahun dengan tempoh waktunya pemilihan dijangka berlangsung pada 2026.

“Saya amat terbuka dalam perkara ini (pemilihan presiden dan timbalan presiden). Terdapat klausa yang mana pemilihan boleh ditangguhkan selama 18 bulan dan ini bermakna, ia bergantung kepada keputusan yang akan dibuat dalam MKT dan PAU.

“Kita amat mematuhi apa yang tercatat dalam perlembagaan dan peraturan Umno. Kita lihat situasi tahun atau tarikh yang akan ditentukan dan tentunya seorang calon tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian namun bergantung kepada sokongan perwakilan.

“Yang penting, Umno harus terus dipertahankan dan relevan, jangan fikirkan daripada sekarang soal pertandingan itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Muar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Ketua Bahagiannya, Datuk Ashari Md Sarip.

Terdahulu, Dr Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk memilih siapa layak menerajui dua jawatan teratas bagi kesinambungan dan seterusnya mengukuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Dr Ahmad Zahid memberitahu, ketika ini beliau sudah tujuh tahun menerajui jawatan presiden yang mana pelantikannya disebabkan peletakan jawatan Najib Razak pada 2018.

“Tiba masanya saya akan serah kepada perwakilan untuk pilih siapa layak. Saya menjadi presiden pun sebab bossku (Najib Razak) letak jawatan dan berikan kepada saya.

“Jawatan hakiki saya cuma naib presiden dan diberi tanggungjawab menjadi presiden. Presiden sebelum ini semua jadi PM (Perdana Menteri), cuma saya seorang tidak menjadi PM.

“Jawatan paling tertinggi pun saya jadi TPM. Itu pun tak tahu sampai bila… saya dah rasa semua jawatan,” katanya.



Comments
Loading...