AGC tolak permohonan Guan Eng gugur kes rasuah


Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menolak representasi difailkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menggugurkan empat pertuduhan rasuah terhadapnya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai lebih RM6 bilion.

(Berita Harian) – Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata kehadiran tertuduh dikecualikan pada hari ini.

“Dalam kes ini pembelaan ada menghantar representasi bagi menarik balik pertuduhan ke atas tertuduh namun setelah dikaji oleh pihak AGC, representasi itu ditolak,” katanya pada sebutan kes itu hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Peguam Haijan Omar yang mewakili tertuduh mengesahkan perkara itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Ogos depan untuk sambung perbicaraan.

Representasi yang diserah pada Jun lalu mengemukakan beberapa alasan termasuk keterangan saksi utama pendakwaan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli kepada mahkamah bercanggah dengan keterangannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung kes penipuan ahli perniagaan G Gnanaraja membabitkan RM19 juta berkaitan kes terowong dasar laut yang sama.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Guan Eng didakwa melakukan perbuatan itu di Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.



Comments
Loading...