‘Tidak selagi ada DAP’, Hashim ulas gesaan kerjasama Umno-PAS bawah kerajaan perpaduan


Hashim Jasin berkata kerjasama Umno-PAS juga terhalang susulan penolakan Zahid Hamidi terhadap kepimpinan Hadi Awang.

(FMT) – Seorang pemimpin PAS berkata parti itu tidak menjalinkan kerjasama dengan Umno di atas kerangka kerajaan perpaduan seperti gesaan bekas pemimpinnya kerana ada DAP.

Mursyidul Am Hashim Jasin berkata pendirian itu seiring keputusan Majlis Syura Ulama PAS dan halangan kerjasama dengan Umno juga susulan penolakan Presidennya Zahid Hamidi terhadap kepimpinan Hadi Awang.

“PAS tidak mahu bersama dalam kerajaan perpaduan kerana wujudnya DAP.

“Tak patut juga suruh tolak presiden kita (Hadi)…macam mana nak bersatu kalau macam itu,” katanya kepada FMT.

Hashim mengulas cadangan bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS Khairuddin Aman Razali supaya kerjasama PAS-Umno termasuk dalam kerangka kerajaan perpaduan hari ini.

Timbalan pengerusi Majlis Ulama Umno itu juga berkata sebelum rundingan baharu kerjasama dilakukan, PAS perlu bersedia mewujudkan suasana kondusif dengan memperkasakan hubungan bersama Umno terlebih dahulu yang pernah dibuat selepas PRU14.

Khairuddin semasa memegang jawatan setiausaha Majlis Syura Ulama PAS antara tokoh yang kuat mahu kerjasama PAS-Umno diteruskan, sebelum beliau dipecat daripada jawatankuasa itu dan akhirnya bertindak keluar parti pada Mac 2022.

Sebelum ini, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil berkata parti itu perlu memutuskan segera sama ada untuk bersama Pakatan Harapan (PH) atau bertanding solo dengan menggabungkan semula kekuatan parti Melayu Islam menerusi MN.

Isham berkata objektif utama sebelum PRU16 adalah untuk mengembalikan MN supaya parti Melayu Islam iaitu PAS, Bersatu, dan Umno bergabung untuk mencapai kemenangan.

Zahid bagaimanapun ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kuala Kangsar pada 8 Julai lalu memaklumkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Abdul Hadi Awang menjadi presiden.



Comments
Loading...