Pemimpin kanan PAS jumpa PM, bincang untuk sertai Kerajaan Perpaduan


SEORANG pemimpin kanan PAS didakwa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membawa parti Islam itu menyertai kerajaan.

(MalaysiaPost) – Menurut sumber, pertemuan itu telah berlaku beberapa kali dan terbaru ia berlangsung pada bulan ini.

“Saya boleh katakan pemimpin PAS berkenaan adalah dalam kalangan ‘top five’ dan telah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.

“Pertemuan itu bertujuan untuk membincangkan penyertaan PAS ke dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

“Anda boleh tanyakan Perdana Menteri mengenai perkara ini, apakah benar beliau ada bertemu dengan pemimpin PAS berkenaan.

“Kali terakhir pertemuan itu berlangsung pada bulan ini (Julai),” kata sumber kepada Malaysiapost.

Terdahulu hari ini, Utusan Malaysia melaporkan wujud perbincangan antara pemimpin PAS dan UMNO bagi membincangkan kerjasama mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Perkara itu di dedahkan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang mendedahkan be­berapa siri pertemuan bersama pe­mimpin UMNO kerap berlaku ketika ini.

Pertemuan itu dakwanya dibuat secara tidak formal membabitkan pe­mimpin utama kedua-dua parti sekali gus dilihat mempunyai harapan dalam menyatukan kembali undi Melayu yang kini berpecah teruk.

Bagaimanapun Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi menafikan laporan berkenaan.

Menjawab penafian Asyraf, Ahmad Fadhli dalam hantaran di Facebooknya hari ini mengakui perbincangan itu hanyalah pertemuan biasa di majlis kenduri serta di Parlimen.

Pada 8 Julai lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Abdul Hadi Awang menjadi presiden parti itu.

Sementara itu sumber berkata, episod pengkhianatan PAS terhadap UMNO sebelum ini dijangka akan bermula kembali.

“Sebelum ini PAS lakukannya terhadap UMNO ketika mereka bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN).

“Secara diam-diam PAS membentuk Perikatan Nasional (PN) dengan Bersatu,” katanya lagi.- Malaysiapost



Comments
Loading...