Permohonan Najib, Irwan Serigar untuk DNAA kes pecah amanah RM6.6 bilion ditolak


Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah supaya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tuduhan pecah amanah terhadap harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion.

(Harian Metro) – Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan itu dan memberi masa hampir empat bulan kepada pendakwaan untuk menyerahkan dokumen lengkap kepada pihak pembelaan sebelum menangguhkan perbicaraan ke 14 November ini.

Muhammad Jamil berkata, semua dokumen belum diserahkan kepada pembelaan bagi membolehkan mereka menyerahkan pernyataan pembelaan kepada pendakwaan sebelum perbicaraan bermula, yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pihak untuk bersedia ketika kes diteruskan pada tarikh berkenaan kerana mahkamah tidak akan memberikan sebarang penangguhan lagi.

“Tiga bulan adalah mencukupi untuk pendakwaan menyerahkan (dokumen) kepada pembelaan. Sila ambil maklum ini adalah tarikh akhir perbicaraan, tiada lagi penangguhan,” katanya.

Terdahulu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee mewakili Najib dan Datuk Seri K Kumaraendran bagi Mohd Irwan Serigar memohon anak guam mereka dilepas tanpa dibebaskan kerana belum diserahkan dokumen lengkap untuk menyediakan kes pembelaan.

Kumaraendran berkata, dokumen yang belum diserahkan adalah penting kerana ia merujuk kepada pernyataan saksi pembelaan dan kenyataan yang dirakamkan saksi kepada pegawai penyiasat.

“Saya ingin mengambil maklum bahawa kami belum menerima dokumen itu sejak perintah terakhir dibuat, di mana pendakwaan menyatakan mereka akan memohon dokumen itu dinyahklasifikasikan.

“Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya berkata mereka tidak tahu bila dokumen itu akan dinyahklasifikasikan. Jika pendakwaan bertegas perbicaraan diteruskan tanpa dokumen, anak guam saya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil.

“Justeru, saya minta kes ini DNAA, di mana jika mereka (pihak pendakwaan) bersedia dengan dokumen yang diperlukan, anak guam saya bersedia menghadapi pertuduhan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Farhan mengguna pakai alasan yang sama bagi memohon DNAA terhadap Najib, berikutan senarai dokumen yang diminta adalah sama pentingnya terhadap pembelaan bekas perdana menteri itu .

“Dokumen adalah berkaitan dengan Minit Kementerian Kewangan dan kelulusan Kabinet yang menjurus kepada elemen utama pertuduhan pecah amanah yang dihadapi kedua-dua tertuduh.

“Dokumen ini sepatutnya sudah lama dinyahklasifikasi. Malah, ada dua lagi jilid dokumen yang belum diserahkan kepada pembelaan yang pihak kami tidak tahu apa pun status, apa jenis dokumen, bila akan diserahkan dan cara mana akan diserahkan,” katanya

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi membantah permohonan DNAA atas alasan proses menyahklasifikasi dokumen bergantung sepenuhnya kepada kementerian yang terbabit dan pihak pendakwaan tidak mempunyai kuasa untuk menentukannya.

Pada prosiding sebelum ini, mahkamah diberitahu dokumen yang perlu dinyahklasifikasi antaranya Minit Kementerian Kewangan, kelulusan Kabinet dan dokumen daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd Irwan Serigar mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.



Comments
Loading...