‘Tiada perbincangan di antara pemimpin UMNO dengan PAS – Asyraf Wajdi


UMNO menafikan dakwaan wujud beberapa siri perbincangan berlangsung di antara pemimpin parti itu dengan PAS bagi membentuk kerjasama.

(Berita Harian) – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perbincangan itu mungkin hanya berlaku dalam kalangan ahli atau penyokong, namun bukan membabitkan kepimpinan kedua parti.

“Saya Setiausaha Agung UMNO, saya tidak tahu. Kalau mahu berbincang kena berbincang dengan kepimpinan.

“Dia mahu berbincang, dia boleh berbincang dengan ahli. Semua orang boleh berbincang.

“Seperti juga saya dengar pemimpin PAS berbincang dengan pemimpin PH (Pakatan Harapan). Kita negara yang sentiasa mengamalkan demokrasi, semua orang boleh berbincang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Penyelarasan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan di Menara Dato’ Onn, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Operasi Pilihan Raya BN DUN Neggeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengarah Operasi Pilihan Raya PH Kelantan, Adly Zahari.

Hari ini, media melaporkan wujud perbincangan di antara pemimpin PAS dan Umno bagi membincangkan kerjasama mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Perkara itu didedahkan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang mendedahkan beberapa siri pertemuan bersama pemimpin UMNO kerap berlaku ketika ini.

Pertemuan itu dakwanya dibuat secara tidak formal membabitkan pemimpin utama kedua-dua parti sekali gus dilihat mempunyai harapan dalam menyatukan kembali undi Melayu yang kini berpecah teruk.

Pada 8 Julai lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Abdul Hadi Awang menjadi presiden parti itu.

Ahmad Zahid berkata, pengalaman bekerjasama dengan PAS sebelum ini menyebabkan keputusan itu diambil.

Menurutnya, banyak keputusan bersama dibuat sebelum ini di antara kedua-dua parti dikhianati PAS.



Comments
Loading...