Jumpa Umno demi Melayu, Bersatu tiada syak wasangka terhadap PAS


Razali Idris berkata Bersatu menyambut baik perkara untuk menguatkan muafakat parti Melayu menjelang PRU16.

(FMT) – Bersatu tidak mempunyai syak wasangka terhadap PAS susulan perbincangan tidak formal wakilnya dengan pemimpin Umno yang dikatakan mahu menjalinkan kerjasama PRU16, malah menyambut baik demi permuafakatan parti Melayu.

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris mendakwa orang Melayu semakin berpecah dan gabungan partinya bersama PAS serta Umno diperlukan untuk mengukuhkan sokongan komuniti berkenaan pada pilihan raya akan datang.

“Tiada masalah.. kena berpakat untuk memerintah sebab Melayu dah banyak berpecah dan kita tiada masalah serta terbuka (kerjasama parti Melayu menjelang PRU16).

Tak salah bincang dengan parti Melayu termasuk Umno, jadi kita tiada syak wasangka terhadapnya, katanya kepada FMT.

Semalam, sebuah media memetik kenyataan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mendakwa berlaku beberapa siri pertemuan PAS bersama pemimpin Umno ketika ini, bagi membincangkan kerjasama menjelang PRU16.

Fadhli berkata pertemuan itu dibuat secara tidak formal membabitkan pemimpin utama kedua-dua parti, yang dilihat mempunyai harapan dalam menyatukan kembali undi Melayu.

Bagaiamanapun, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menyangkal dakwaan itu.

Razali berkata Bersatu juga terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang mempunyai niat mengukuhkan perjuangan demi Melayu menjelang PRU16.

Namun tegasnya perkara paling pokok untuk mengukuhkan Perikatan Nasional (PN) yang diasaskan bersama oleh Bersatu dan PAS.

Sebelum ini, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil berkata parti itu perlu memutuskan segera sama ada untuk bersama PH atau bertanding solo dengan menggabungkan semula kekuatan parti Melayu Islam menerusi MN.

Isham berkata objektif utama sebelum PRU16 adalah untuk mengembalikan MN supaya parti Melayu Islam iaitu PAS, Bersatu, dan Umno bergabung untuk mencapai kemenangan.

Presiden Umno Zahid Hamidi bagaimanapun pada 8 Julai lalu memaklumkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Abdul Hadi Awang menjadi presiden.

 



Comments
Loading...