Tiada pertemuan rasmi antara Umno, Pas untuk bentuk kerjasama – Ahmad Zahid


Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada pertemuan rasmi antara parti itu dengan Pas bagi membentuk kerjasama.

(Harian Metro) – Ahmad Zahid berkata secara peribadi tiada yang hadir bertemu dengannya seperti yang didakwa.

“Mereka tidak berjumpa dengan saya. Jika ada pun, mungkin itu pendekatan yang dibuat secara peribadi dan bukan secara rasmi,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian Pusat Fisioterapi dan Rehabilitasi Sukan Propain Shah Alam, di sini, hari ini.

Beliau berkata sedemikian ketika ditanya berhubung dakwaan wujud perbincangan antara pemimpin Pas dan Umno bagi membincangkan kerjasama mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Perkara itu didedahkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, yang mendakwa beberapa siri pertemuan bersama pemimpin Umno kerap berlaku ketika ini.

Pertemuan itu dakwanya dibuat secara tidak formal membabitkan pemimpin utama kedua-dua parti sekali gus dilihat mempunyai harapan dalam menyatukan kembali undi Melayu yang kini berpecah teruk.

Pada 8 Julai lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata parti itu tidak akan bekerjasama dengan Pas selagi Abdul Hadi Awang menjadi presiden parti itu.

Ahmad Zahid dipetik berkata, pengalaman bekerjasama dengan Pas sebelum ini menyebabkan keputusan itu diambil.



Comments
Loading...