SPRM buka semula siasatan Scorpene, jumpa petunjuk baharu


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui petunjuk baharu dalam siasatan pembelian kapal selam Scorpene daripada syarikat Perancis.

(Berita Harian) – Sehubungan itu, difahamkan SPRM akan memulakan semula siasatan yang akan memfokuskan kepada beberapa petunjuk baru berkenaan.

BH difahamkan, siasatan terbaharu itu akan menumpukan kepada penyelewengan sebanyak RM42 juta iaitu sebahagian daripada RM530 juta yang dibayar dalam kontrak pembekalan perkhidmatan sokongan dalam pembelian kapal selam terbabit.

Sumber berkata, sebuah syarikat juga sedang dalam pemerhatian SPRM.

“Sebuah syarikat tempatan yang dilantik dikatakan membuat pembayaran kepada beberapa syarikat tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah.

“Dipercayai pembayaran-pembayaran dengan jumlah RM42 juta ini diseleweng kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh ahli keluarga pemilik syarikat terbabit,” kata sumber itu.

BH turut dimaklumkan, SPRM akan memanggil beberapa orang saksi dalam siasatan itu.

“SPRM sudah mengenal pasti individu-individu yang terbabit dan mereka juga sudah dirakam percakapan sebelum ini,” katanya.

Ditanya mengenai siasatan kes Scorpene sebelum ini, sumber itu berkata, SPRM tidak pernah menutup siasatan itu.

“Siasatan diaktifkan semula berdasarkan penemuan baru”, katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada April lalu berkata, siasatan pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia pada 2002 masih berjalan hingga kini.

Katanya, hingga kini pihaknya masih berhubung dengan pihak di luar negara bagi mendapatkan maklumat.

“Kes masih berjalan yang mana kita sebenarnya masih berhubung dengan pihak-pihak luar negara bagi mendapatkan maklumat keterangan tentang beberapa transaksi,” katanya.

Pembelian kapal selam itu mencetuskan polemik pada 2010 dan turut terkait ialah seorang bekas Perdana Menteri.

Pada 2002, bekas Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan ketika itu menyelia pembelian dua kapal selam jenis Scorpene dan satu kapal selam jenis Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis, DCN (kini sebahagian daripada Thales), bernilai hampir STG1 bilion (AS$1.17 bilion).



Comments
Loading...