‘PAS terbaik buat saya’, kata bekas ketua MIC N Sembilan


L Manickam menyertai PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) kira-kira dua minggu lalu.

(FMT) – Bekas ketua MIC Negeri Sembilan, L Manickam, berkata keputusannya menyertai PAS kerana parti itu mantap serta kukuh dan yang terbaik buatnya ketika ini.

Bekas Adun Jeram Padang selama dua penggal berkata, ia juga adalah wadah untuknya terus berkhidmat kepada masyarakat khususnya rakyat Negeri Sembilan.

“Saya menyertai PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) kira-kira dua minggu lalu ketika mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) DHPP pada 21 Julai lepas.

Saya telah menerima kad keahlian pada hari sama sebelum dilantik sebagai AJK Pusat dan pengerusi tetap DHPP Negeri Sembilan, katanya yang juga exco dari 2013 hingga 2018, menurut Berita Harian.

Manickam berkata, pembabitannya dalam politik sudah lebih 40 tahun dan penyertaan dalam PAS bagi membolehkannya terus memberi sumbangan kepada masyarakat.

Beliau juga lebih yakin dengan parti itu yang disifatkan mantap serta kukuh, malah diterima semua.

“Saya tertarik dengan slogan PAS untuk semua. Saya juga tertarik dengan kepimpinan PAS bawah pimpinan Hadi Awang dan Ketua DHPP Pusat N Balasubramaniam.

Kini saya nampak PAS mula diterima semua. Saya juga sudah selesa dengan PAS sebab MIC pernah bersama parti ini dahulu ketika Umno bekerjasama dalam Muafakat Nasional, katanya.

Terdahulu, Manickam memberi gambaran mengenai penyertaannya dalam PAS menerusi hantaran di Facebook.

Ada hikmah di sebalik hijrah. Saya telah berhijrah ke bulan tanpa menggunakan roket. Bagaimana dengan saudara dan saudari. Dialu-alukan untuk turut serta jika sesiapa berminat untuk bersama, tulisnya.

Oktober tahun lalu, Manickam umum letak semua jawatan dalam MIC termasuk ketua MIC Negeri Sembilan dan ketua bahagian Jempol sekali gus keluar parti itu.

 



Comments
Loading...