PRK Nenggiri: Ahli BERSATU Gua Musang diajak sertai UMNO Kelantan, sokong calon BN


Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman, berkata ia kerana pucuk pimpinan BERSATU dianggap meminggirkan mereka apabila memilih bekas ahli PAS untuk bertanding sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRK itu nanti.

(Berita Harian) – UMNO Kelantan mengajak ahli BERSATU di Gua Musang untuk menyertai parti itu, sekali gus menyokong calon yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos ini.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman, berkata ia kerana pucuk pimpinan BERSATU dianggap meminggirkan mereka apabila memilih bekas ahli PAS untuk bertanding sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRK itu nanti.

“Apabila Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamarudin Md Noor, mengeluarkan kenyataan bahawa pemilihan calon, Mohd Rizwadi Ismail yang juga bekas ahli PAS itu dibuat untuk menepati cita rasa pengundi, ia seolah-olah menghina kepimpinan dan ahli parti berkenaan di Gua Musang.

“Justeru, saya merasakan ahli BERSATU terutama di Gua Musang, perlu membuat pendirian dan kembalilah kepada UMNO bagi memenangkan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, pada PRK DUN Nenggiri.

“Ini kerana hampir kebanyakan ahli BERSATU di Gua Musang adalah bekas ahli UMNO. Cukup-cukuplah bersama BERSATU sebab pucuk pimpinan parti mereka jelas menolak ahli mereka mentah-mentah,” dakwanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan BERSATU Kelantan mendakwa bahawa ia mempunyai ramai pemimpin yang boleh diketengahkan sebagai calon pada PRK DUN Nenggiri, namun menjelaskan pemilihan Mohd Rizwadi dibuat untuk menepati ‘cita rasa’ pengundi.

Kamarudin dipetik berkata, tidak timbul soal mereka ketandusan calon sebagaimana didakwa UMNO sehingga terpaksa ‘mengimport’ Mohd Rizwadi yang dikatakan menyertai BERSATU dua hari sebelum diumumkan sebagai calon mewakili PN.

Semalam, BH melaporkan Mohd Rizwadi yang juga dikenali sebagai Ustaz Wadi, menegaskan beliau tidak pernah meminta menjadi calon daripada BERSATU untuk bertanding mewakili PN pada PRK DUN Nenggiri nanti.

Sebaliknya, bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang berusia 41 tahun itu menjelaskan bahawa pemilihannya dibuat berdasarkan keputusan parti, malah beliau sendiri tidak menyangka akan perkara berkenaan.

Mohd Rizwadi berkata, beliau hanya dimaklumkan oleh pimpinan mengenai perkara itu dua hari sebelum pengumuman dibuat, dan persetujuannya untuk menjadi calon adalah sebagai tanda akur kepada parti.



Comments
Loading...