Siasatan kematian Teoh Beng Hock dibuka semula


Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan setuju polis membuka semula siasatan kematian bekas pembantu exco Selangor, Teoh Beng Hock.

(Berita Harian) – Beliau memberi jaminan siasatan kali ini akan dilakukan secara telus dan adil tanpa ada campur tangan mana-mana pihak.

Perdana Menteri menyatakan perkara itu kepada ahli keluarga mendiang yang menemuinya di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata, dalam pertemuan itu, beliau turut menyatakan pendirian kerajaan yang bersetuju untuk pihak polis membuka semula kertas siasatan terkait kematian Beng Hock.

“Hari ini saya bertemu dengan ahli keluarga mendiang Teoh Beng Hock di Putrajaya dan berbicara panjang bersama ibu bapanya, Teng Shuw Hoi dan Teoh Leong Hwee, di samping anak mendiang Teoh Er Jia dan adik mendiang Teoh Lee Lan.

“Saya mendengar segala keluhan dan beberapa permintaan daripada pihak keluarga. Saya sudah lama mengikuti rapat kes ini dan memahami kesedihan serta penderitaan keluarga yang sekian lama memperjuangkan keadilan buat mendiang.

“Saya beri jaminan siasatan kali ini akan dilaksanakan secara telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak, khususnya mengambil kira pandangan Mahkamah Rayuan berhubung kes ini pada 5 September 2014,” katanya dalam Facebooknya, hari ini.

Beng Hock ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang ketika itu adalah EXCO Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.

Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematiannya manakala pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.

Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.



Comments
Loading...