PRK DUN Nenggiri: Pertandingan satu lawan satu calon BN, PAS
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS pada 17 Ogos ini.
(Berita Harian) – BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya daripada PAS yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizwadi Ismail.
Kedua-dua mereka diumum sebagai calon layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri, Nik Raisnan Daud, selepas selesai proses penamaan calon pada 10 pagi tadi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, di sini.
Nik Raisnan mengumumkan pihaknya menerima pencalonan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail jam 9.02 jam, sebelum disusuli calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani jam 9.08 pagi.
Mohd Azmawi Fikri, 38, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan manakala Mohd Rizwadi, 41, adalah bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Nik Raisnan berkata, tiada kertas penamaan calon yang ditolak oleh pihaknya.
Terdahulu Mohd Rizwadi bergerak masuk ke pusat penamaan calon pada jam 8.45 pagi, manakala Mohd Azmawi Fikri tiba jam 9 pagi.
Ribuan penyokong daripada kedua-dua parti yang bertanding setia menunggu di luar pagar.
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian BERSATU pada 13 Jun lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini dengan kempen akan berlangsung selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam, 16 Ogos ini.
Menurut SPR, seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK DUN Nenggiri yang membabitkan 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi.
Ini adalah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai (Johor); DUN Pelangai (Pahang); DUN Jepak (Sarawak); Parlimen Kemaman (Terengganu), DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).