‘AMANAH gelojoh, tamak, tidak hormati sensitiviti waris’, bidas Pemuda UMNO Johor


Pemuda UMNO Johor menyifatkan tindakan AMANAH menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diumumkan tidak lama lagi sebagai gelojoh dan tamak.

(Berita Harian) – Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambrose, berkata AMANAH juga dilihat tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, yang baharu meninggal dunia.

Katanya, sikap gelojoh dan tamak pimpinan AMANAH Kluang hanya menzahirkan kiblat kuasa, tanpa meletakkan sempadan nilai simpati dalam amalan berpolitik.

“Seharusnya pimpinan AMANAH menunjukkan contoh dengan menghormati sensitiviti keluarga dan waris Allahyarhamah dengan tidak secara terbuka membuat desakan secara tergopoh-gapah.

“Sikap sebegini bukanlah nilai-nilai yang wajar untuk disemai dalam kalangan rakan-rakan, dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan semua parti yang sama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Keutamaan untuk memanfaatkan platform dalaman secara bermusyawarah adalah lebih afdal dan kesepakatan semua pimpinan di setiap peringkat Kerajaan Perpaduan seharusnya menjadi asas dalam usaha kita sama-sama mendapat kepercayaan dan keyakinan seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

AMANAH Kluang hari ini mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada PRK DUN Mahkota.

Ketua AMANAH Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, dilaporkan berkata ia berikutan AMANAH pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 2022.

Beliau dilaporkan berkata, kenyataan terbuka UMNO Bahagian Kluang yang menyatakan secara terbuka tidak mahu bekerjasama dengan satu daripada komponen PH baru-baru ini juga sangat mengguris hati akar umbi sekali gus membuka ruang musuh memecah belahkan hubungan PH dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman daripada AMANAH, yang memperoleh 11,445 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon WARISAN, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.

Pada PRU14 pula, calon AMANAH yang menggunakan logo PKR, Muhammad Said Jonit menang kerusi DUN Mahkota dengan meraih 19,507 undi dan mendapat majoriti 1,668.

Muhammad Said menewaskan calon BN, Datuk Jais Sarday yang meraih 17,839 undi dan calon PAS, Hasbullah Najib yang mendapat 3,092 undi.



Comments
Loading...