PRK Nenggiri: Bukan ‘gelenyar’ nak jadi calon, Bersatu sendiri yang lamar Ustaz Wadi
Calon Bersatu mewakili Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail pada awalnya menolak ketika dilamar Bersatu untuk menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
(Harian Metro) – Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa, ketika memaklumkan perkara itu berkata, penolakan sebagai calon itu berlaku di kediamannya di Kuala Lumpur ketika perbincangan dibuat dengan alasan Mohd Rizwadi tidak mahu meninggalkan Pas.
“Sekarang ini macam-macam orang menuduh calon PN, Ustaz Wadi ‘gelenyar’ (gatal) mahu menjadi calon dan tidak setia kepada parti Pas.
“Di sini saya nak menceritakan perkara sebenar yang berlaku. Penamat untuk menentukan calon berlaku di rumah saya di Kuala Lumpur.
“Bila kami panggil Ustaz Wadi dan menyatakan hasrat beliau dilamar untuk menjadi calon oleh Bersatu, dia menggeletar dan memaklumkan tidak mahu menjadi calon kerana enggan meninggalkan parti Pas.
“Situasi (lamaran) itu adalah pelik dan tidak pernah berlaku memandangkan Ustaz Wadi memegang jawatan dalam Pas, namun dilamar oleh Bersatu untuk menjadi calon PRK,” katanya menerusi Ceramah Umum di Unit Daerah Mengundi (UDM) Meranto, malam tadi.
Annuar berkata, bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu kemudiannya menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan selain meminta parti merujuk kepada Mursyidul Am Pas mengenai tentang kedudukannya.
“Apabila merujuk kepada pimpinan termasuk Mursyidul Am, parti merestui Ustaz Wadi menyertai Bersatu dan menjadi calon pada PRK DUN Nenggiri.
“Untuk menjadi calon bukan Ustaz Wadi atau Pas yang meminta sebaliknya Bersatu sendiri melamar memandangkan ciri-ciri calon yang dikehendaki terdapat pada beliau.
“Malah, nama Ustaz Wadi juga tiada dalam senarai asal cadangan calon, namun disebabkan kita mahu mencari calon wakil rakyat yang mampu menyelesaikan masalah dengan menepati ciri tertentu, Mohd Rizwadi adalah orangnya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut mengakui Pas tidak pernah meminta untuk bertanding sebaliknya Bersatu yang melamar Mohd Rizwadi yang ketika itu ahli Pas.
Katanya, tidak timbul isu calon Pas atau Bersatu sebaliknya Mohd Rizwadi mewakili PN dan beliau seorang yang layak diangkat sebagai calon.