MIC terus ambil sikap membelakangi pengerusi BN


(Malaysiakini) – Parti komponen BN, MIC terus mengambil sikap membelakangi pengerusi gabungan itu, Ahmad Zahid Hamidi apabila presidennya SA Vigneswaran mengumumkan akan melantik koordinator di semua kerusi parlimen yang ditandingi secara tradisi.

Pengumuman yang dibuat pada mesyuarat agung tahunan MIC Pulau Pinang itu semalam sekali gus bertentangan dengan kenyataan Ahmad Zahid sebelum ini bahawa BN akan bekerjasama dengan PH pada PRU16 dan tidak akan bertanding di kerusi parlimen dimenangi gabungan itu.

“MIC akan melantik koordinator di semua kerusi parlimen yang ditandingi pada PRU15. Kita juga akan melantik koordinator di kerusi-kerusi parlimen yang mempunyai peratus pengundi masyarakat India yang tinggi.

“Mula-mula kita dijadikan sebagai anak yatim dan sekarang kita boleh memanggil diri kita sebagai pelarian,” kata Vickneswaran di hadapan lebih 400 perwakilan daripada MIC, petang semalam.

Difahamkan ucapan Vigneswaran itu merujuk kepada Ahmad Zahid yang didakwa sebelum ini mengambil keputusan penting bagi pihak BN tanpa berbincang dengan MIC dan MCA.

Untuk rekod, pada PRU15 yang lalu, MIC bertanding di 10 kerusi parlimen dan menang di kerusi parlimen Tapah sahaja.

Parti itu tewas kepada PH di kerusi Sungai Siput, Teluk Intan, Port Dickson, Batu, Segamat, dan Kota Raja.

Calon PN pula menewaskan MIC di kerusi Hulu Selangor dan Kuala Langat.

Di kerusi Padang Serai, calon MIC C Sivarraajh mengundur diri bagi memberi laluan kepada calon PH, namun kerusi itu dimenangi PN.

Baru-baru ini, Vigneswaran berkata MIC perlu membuat keputusan berhubung kedudukannya dalam BN terlebih dahulu sebelum membincangkan soal pengagihan kerusi untuk PRU akan datang.

Kenyataan Vigneswaran itu menimbulkan persoalan jika MIC mungkin akan meninggalkan BN selepas berada dalam gabungan itu dan sebelumnya Perikatan sejak 72 tahun lalu.

Pada 19 Julai lalu, laporan Malaysiakini memetik sumber MIC sebagai berkata tidak mustahil untuk parti itu meninggalkan BN atas faktor pengagihan kerusi dan rasa dianaktirikan dalam kerajaan.

 



Comments
Loading...