AMANAH Johor `bagai kacang lupakan kulit’ – Setiausaha UMNO Johor


AMANAH Johor didakwa `bagai kacang lupakan kulit’ kerana melupakan jasa dan pengorbanan UMNO memberi laluan kepada parti itu bertanding di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, tahun lalu.

(BH) – Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman, berkata UMNO Johor ketika itu berlapang dada dengan memberi laluan kepada AMANAH menurunkan calon mereka walaupun dua kerusi itu adalah kerusi tradisi parti.

Katanya, AMANAH Johor terlupa jasa UMNO itu apabila menyatakan tiada istilah parti penyandang atau ‘principle of incumbency’ kepada 56 kerusi DUN di Johor, kerana mereka berasakan Pakatan Harapan (PH) di Johor dianggap sebagai pembangkang.

“Mungkin AMANAH Johor lupa mengenai dua Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, di mana UMNO beri laluan kepada calon mereka untuk bertanding, walhal UMNO boleh saja tuntut dua kerusi itu kerana sudah jadi kerusi tradisi kami.

“Namun, UMNO berlapang dada dan sanggup memberi bantuan jentera kempen dan sokongan undi sepenuhnya kepada dua calon AMANAH itu sampai menang. Memang betullah peribahasa `bagai kacang lupakan kulit’.

“Biarlah UMNO-Barisan Nasional (BN) terus kekal bertanding di kerusi tradisi itu. AMANAH Johor perlu hormat pengorbanan UMNO macam mana kami beri laluan kepada mereka sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan prinsip parti penyandang atau ‘Principle of Incumbency’ tidak terpakai kepada 56 kerusi DUN di Johor, kerana PH di negeri itu dianggap sebagai pembangkang.

Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata ia terbukti apabila tidak ada seorang pun EXCO Kerajaan Johor daripada PH dengan kesemua 11 EXCO adalah daripada UMNO/Barisan Nasional (BN).

Dzulkefly dipetik berkata, isu utama yang membawa ketidakpuasan hati akar umbi AMANAH, terutama di Kluang berdasarkan realiti tidak wujud Kerajaan Perpaduan di Johor seperti di Putrajaya dan negeri yang Menteri Besarnya daripada BN.

Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK DUN Mahkota akan diwakili BN.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, dilaporkan berkata pihaknya akan bersiap siaga untuk menghadapi PRK itu yang dijadualkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September depan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, dilaporkan berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

Dalam pada itu, Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, gesaan daripada Timbalan Pengerusi AMANAH Johor yang mahu Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz segera mewujudkan suasana harmoni di antara BN dan PH di negeri itu, sebagai kenyataan yang tak cermin diri sendiri.

Katanya, selama ini memang suasana politik dan pentadbiran negeri Johor berada dalam aman damai dan harmoni selepas PRN dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Sebelum ini, PH Johor terutama DAP serta PKR menghormati kedudukan pucuk pimpinan kerajaan negeri. Ini kerana dua parti itu faham, Kerajaan Johor sekarang ini dibentuk sebelum PRU15 dan sebelum adanya Kerajaan Perpaduan.

“Malah bekas Timbalan Presiden AMANAH yang juga Pengerusi PH Johor sebelum ini, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, pernah mengeluarkan kenyataan tahun lalu, yang PH Johor tidak akan menuntut sebarang jawatan termasuk dalam barisan EXCO Kerajaan Johor walaupun di peringkat Pusat PH dan BN bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Namun cuma AMANAH Johor yang nak cari pasal dan buat hal dengan sentiasa ungkitkan mengenai lantikan EXCO, Ahli Majlis dan jawatan Ketua kampung di negeri ini,” katanya.



Comments
Loading...