‘UMNO tegas dalam isu komik, tak akan gadai agenda Melayu dan Islam’


Agenda membabitkan Melayu dan Islam yang diperjuangkan UMNO selama ini, tidak akan tergadai sama sekali dengan pembatalan Perintah Larangan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau, oleh mahkamah baru-baru ini.

(BH) – Sebaliknya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata UMNO sudah memainkan peranan dalam isu komik terbabit dengan mendesak kerajaan menangguhkan pembatalan Perintah Larangan terhadap penerbitannya sebelum ini.

Beliau berkata, walaupun pendirian UMNO tegas berhubung intipati komik terbabit, namun semua pihak perlu akur dengan keputusan dikeluarkan mahkamah dalam isu itu.

“UMNO bertegas dalam isu larangan komik ini, malah sudah meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneliti semula perkara ini dan difahamkan, kerajaan sedang membincangkan langkah untuk memfailkan permohonan menyemak semula keputusan pembatalan perintah berkenaan.

“Jadi, janganlah menuduh dan memfitnah UMNO, takkanlah kerana pembatalan larangan komik itu jadi bukti UMNO menggadai agenda Melayu dan Islam hingga didesak keluar daripada kerajaan.

“Pembatalan perintah larangan komik itu dikeluarkan mahkamah pada Disember 2022, tetapi kerajaan melewatkan pelaksanaannya hingga bulan ini. Takkanlah hanya kerana komik itu, kita gadaikan semua dasar yang memberi kesan besar buat rakyat,” katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik yang dikaitkan dengan komunis itu yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertarikh 6 Ogos lalu.

Asyraf Wajdi berkata, pihaknya turut meminta Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan arahan supaya komik ini tidak terlepas masuk ke sekolah.

Beliau berkata, ini kerana intipati komik itu bukan sahaja memberi penghinaan terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM), namun ia juga menyentuh Perlembagaan, mempertikaikan hak Bumiputera dan orang Melayu.

Katanya, pada peringkat awal ini, pihaknya akur dengan keputusan mahkamah namun beliau percaya ada banyak cara lain untuk mengekang penyebaran komik terbabit.

“KDN tidak boleh berbuat apa-apa kecuali menarik semula perintah itu kerana ia arahan mahkamah…siapa boleh langgar mahkamah kerana ia membabitkan kedaulatan undang-undang iaitu antara Rukun Negara yang wajib dipatuhi,” katanya.

 



Comments
Loading...