Muafakat Nasional Sabah bubar, hilang kepercayaan terhadap Annuar Musa


Muafakat Nasional (MN) Sabah yang dibentuk sejak dua tahun lalu dibubarkan hari ini selepas hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan presidennya, Tan Sri Annuar Musa.

(Harian Metro) – Pengerusi MN Sabah, Jismit Japong, berkata beliau bersama 30 ahli jawatan kuasa (AJK) protem MN negeri meletak jawatan masing-masing berkuatkuasa hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu sebagai tanda tidak berpuas hati terhadap layanan MN Pusat, termasuk kecewa terhadap layanan Annuar yang didakwanya tidak adil.

“Hari ini saya meletak jawatan dan membubarkan protem MN Sabah kerana beberapa sebab yang kami tidak boleh terima.

“Kami sudah menilai dengan panjang lebar tindakan MN pusat pimpinan Tan Sri Annuar Musa yang membelakangkan dan tidak menghormati langsung seolah-olah MN Sabah tidak wujud,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui semua AJK MN Sabah pada mesyuarat terakhir mereka semalam.

Difahamkan, keputusan itu dibuat menjelang kehadiran Annuar ke Sabah yang dijadual menghadiri Konvensyen PAS Sabah pada Sabtu ini.

Jismit berkata, beliau juga terkilan apabila MN Sabah tidak dimaklumkan berhubung pelantikan dua Ahli Dewan Tertinggi MN dari Sabah sedangkan MN Pusat sebelum ini sudah memberi mandat autonomi kepada MN Sabah.

“Pelantikan ini bercanggah dengan prinsip dan konsep MN yang mana perkara berkaitan pengurusan dan pentadbiran MN Sabah, perlu dibincangkan bersama.

“Atas sebab itu kami hilang kepercayaan terhadap MN, kepemimpinan AJK MN Pusat dan kepemimpinan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi MN Pusat,” katanya.

Katanya, ketika ini MN Sabah dianggotai kira-kira 30,000 ahli, menggambarkan kehadirannya di negeri ini semakin diterima rakyat.

Bagaimanapun, katanya layanan tidak adil MN Pusat terhadap MN Sabah membuatkan mereka kecewa dan mengambil keputusan menamatkan riwayat badan bukan kerajaan (NGO) itu di negeri ini.

Sementara itu, katanya, berbeza dengan MN di Semenanjung yang bersikap anti kerajaan, MN Sabah pimpinannya mengambil pendekatan mesra kerajaan negeri.

“MN Sabah ini bebas, sama ada ahli UMNO, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan atau mana-mana parti boleh menyertainya kerana ia adalah sebuah NGO.

“Kita tidak memburukkan kerajaan atau wakil rakyat, tidak seperti MN di Semenanjung. Kita benar-benar mengamalkan muafakat,” katanya.

Berikutan pembubaran itu, katanya mereka merancang untuk menubuhkan sebuah NGO baharu yang memfokuskan kepada kebajikan dan peningkatan ekonomi Sabah.

Katanya, surat pembubaran MN Sabah akan diserahkan kepada MN Pusat dalam tempoh 14 hari bermula hari ini dan menegaskan ia adalah keputusan muktamad.



Comments
Loading...