Institusi Raja tidak sepatutnya diheret dengan tohmahan berkaitan isu politik – Sultan Selangor
Institusi Raja tidak sepatutnya diheret dengan tohmahan dan fitnah yang berkaitan dengan isu politik, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
(Berita Harian) – Berikutan itu, baginda menyeru seluruh rakyat untuk sama-sama bertanggungjawab mengharmonikan dan menyuburkan perpaduan tanpa perlu meracuni fikiran rakyat dengan unsur negatif, terutama isu 3R (raja, agama, kaum).
“Institusi Raja adalah ‘above politics’, oleh itu sebarang bentuk teguran dan kritikan terhadap pemerintah dan Institusi Raja seharusnya disuarakan melalui saluran yang betul dan dilaksanakan secara berhemah.
“Beta sering menasihati pemimpin dan ahli politik untuk mengelak daripada mencetuskan politik kebencian, namun demikian budaya negatif ini masih diamalkan oleh sebahagian daripada pemimpin dan ahli politik.
“Bagaimanapun beta tidak akan jemu untuk terus menasihati seluruh rakyat agar sentiasa memupuk semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan masyarakat,” titah baginda menerusi kenyataan hari ini, sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024.
Sultan Selangor bertitah, segala perbezaan antara kaum, agama dan fahaman politik tidak harus dijadikan penghalang bagi rakyat Malaysia memberikan taat setia kepada negara.
Titah baginda, perbezaan itu seharusnya dijadikan resipi untuk mewujudkan masyarakat majmuk yang bersatu-padu dan hormat menghormati antara satu sama lain.
Baginda bertitah, usaha hendaklah dilakukan dengan berhemah bagi mengadakan program yang boleh merapatkan semula jurang pemisah demi mengikis segala prasangka buruk di jiwa sebahagian rakyat negara ini.
“Jauhilah dari segala amalan budaya hasad dengki, fitnah memfitnah serta mengadu-domba dan menghasut yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat. Sama-samalah kita berdoa semoga rakyat di negara yang kita cintai ini dapat hidup rukun dan damai,” titah baginda.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat agar memahami dan menghayati pengertian serta tujuan sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan setiap tahun.
Titah baginda, kemerdekaan bukanlah sekadar kebebasan daripada cengkaman penjajahan dan melaungkan slogan ‘Merdeka!’ semata-mata.
“Kemerdekaan memerlukan pengorbanan jiwa dan minda yang dipupuk menerusi pembinaan jati diri melalui empat aspek utama iaitu agama, akhlak/moral, pendidikan dan bahasa.
“Negara memerlukan rakyatnya yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama untuk bersama bersemangat membentuk sebuah masyarakat yang teguh dan harmoni berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” titah baginda menerusi kenyataan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024.
Sultan Selangor bertitah, generasi muda yang menjadi harapan bangsa dan negara terdedah dengan ancaman penjajahan dalam bentuk baharu yang menyentuh aspek pemikiran dan budaya yang berkembang seiring dengan kepesatan teknologi maklumat, khususnya media sosial.
Justeru, baginda bertitah agar generasi muda bijak dalam mendepani dan menyelesaikan segala permasalahan dan cabaran yang akan datang.
“Semangat patriotik, toleransi dan saling hormat-menghormati perlulah terus diterapkan ke jiwa generasi muda dan dizahirkan dalam bentuk perpaduan yang jitu, keharmonian yang utuh serta bebas dari sebarang elemen negatif.
“Beta yakin dengan penghayatan erti sebenar kemerdekaan akan dapat menyuburkan kembali semangat cinta kepada negara demi membentuk sebuah negara yang maju dan progresif,” titah baginda.