Putra lapor polis Dong Zong tolak bahasa Melayu di sekolah vernakular


Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat laporan polis terhadap Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang didakwa melanggar kontrak sosial berhubung penolakan mereka mengenai insiatif kerajaan yang mahu menyelaras silibus Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular.

(Utusan) – Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif membuat laporan itu di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata, isu tersebut timbul apabila berlaku ketidakpuasan hati akan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah Cina yang disuarakan berulang kali.

Sehubungan itu, beliau menegaskan dengan memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan membantu meningkatkan perpaduan antara pelbagai kaum di negara ini.

“Setiap rakyat Malaysia berhak untuk memahami dan menghayati budaya serta bahasa kebangsaan negara.

“Bahasa Melayu penting untuk mengukuhkan identiti dan rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Sebagai rakyat Malaysia, adalah wajib untuk memahami dan fasih dalam bahasa kebangsaan negara agar dapat menghayati roh dan semangat Perlembagaan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee dilaporkan menolak penyelarasan silibus Bahasa Melayu sekolah rendah vernakular.

Katanya, bahasa ibunda pelajar sekolah Cina bukan Bahasa Melayu, sebaliknya bahasa kedua di sekolah berkenaan, maka, ia tidak boleh diajar menggunakan silibus sama seperti pelajar Melayu lain.

Beliau dilaporkan berkata demikian dipetik akhbar tempatan Cina ketika hadir mesyuarat dalaman di Bangunan Dong Zong, kelmarin.

Sebanyak sembilan institusi pendidikan Cina di negara ini sebulat suara menolak inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) menyelaras silibus Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular.

Institusi pendidikan Cina itu adalah Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Selangor dan Kuala Lumpur.

Institusi lain Majlis Bahasa Cina Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia, Institut Pengajian Cina UTAR, Majlis Pengetua Sekolah Menengah Conforming Malaysia, Majlis Guru Besar SJKC Malaysia dan Persatuan Ibubapa Pendidikan Cina Malaysia.

Dalam pada itu, beliau menggesa pihak polis menjalankan siasatan kerana ia melibatkan pelanggaran terhadap Perlembagaan Persekutuan di dalam Fasal 151, 152, dan 153.

“Permohonan tindakan pendakwaan yang sesuai amat perlu,” katanya.



Comments
Loading...