4 negeri pembangkang tubuh syarikat untuk agih hasil secara saksama


Empat kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menubuhkan sebuah syarikat bagi membolehkan hasil yang diperoleh negeri berkenaan diagihkan secara saksama.

(Berita Harian) – Ketua Panel Penasihat State Government 4 (SG4), Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata syarikat yang dinamakan SG4 Group Sdn Bhd itu akan memberi fokus kepada lima kluster ekonomi, dengan setiap negeri mempunyai pegangan ekuiti 25 peratus.

Beliau berkata, kluster berkenaan adalah infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan industri; pertanian dan sekuriti makanan; pendidikan dan modal insan serta sumber pendapatan baharu.

“Sebagai contoh, kita percaya nadir bumi adalah satu punca kekayaan, yang bukan terdapat sama rata dalam kalangan empat negeri, tetapi dalam syarikat ini, kita agih hasilnya secara saksama.

“Kita bukan nak tumpu ubah jalan lain (daripada Kerajaan Persekutuan), tetapi nak tumpu kepada pembangunan empat negeri ini yang tidak dapat kekayaan yang sama dengan negeri lain dan majukan negeri ini supaya mendapat nikmat kekayaan negara,” katanya pada sidang media sempena Sidang Kemuncak SG4 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat SG4, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

SG4 ditubuhkan pada Oktober tahun lalu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), yang menyaksikan PN mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu, selain merampas Perlis pada PRU15.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, setiap kluster yang ditumpukan di bawah syarikat berkenaan akan dipengerusikan EXCO daripada satu negeri yang terbabit dan dianggotai EXCO negeri lain.

“Dalam perniagaan ini kita perlu ada satu tujuan, jika tidak bagaimana kerajaan negeri boleh berkongsi (pendapatan).

“Jadi, berapa saja pendapatan akan dibahagikan berdasarkan kepada pegangan, iaitu 25 peratus (setiap negeri),” katanya.

 



Comments
Loading...