PN dakwa kena penuhi 7 syarat untuk MP pembangkang dapat peruntukan
Perikatan Nasional (PN) hari ini mendedahkan beberapa syarat yang didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan, yang perlu dipenuhi Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan seperti yang dituntut.
(Berita Harian) – Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata terdapat tujuh syarat keseluruhannya yang digariskan di bawah draf Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Peruntukan Pembangkang, yang diterima beliau pada 6 Ogos lalu.
Takiyuddin berkata, antara yang menjadi syarat adalah pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15 dan perkara berkaitan bangsa, agama dan Raja-Raja (3R).
“Ia (MoU) ada obligasi-obligasi kerajaan dan pembangkang, dan jumlah yang dikatakan nak diberi kepada pembangkang tidak disebut.
“Kita pun tidak faham kenapa Ahli Parlimen bukan pentadbiran perlu isytihar harta. Zaman Perdana Menteri dulu, pengisytiharan harta dalam kalangan anggota pentadbiran, Menteri dan Timbalan Menteri.
“Ia sampai peringkat MoU ini berkuat kuasa sampai akhir penggal ke-15, jadi kami belum putuskan boleh terima atau tidak. Apa kena mengena peruntukan dengan tempoh akhir Parlimen?” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sidang Kemuncak State Government 4 (SG4) hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Panel Penasihat State Government 4 (SG4), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Penasihat SG4, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Minggu lalu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata PN sedang membuat perincian teliti berhubung perkara yang perlu dikemukakan sebelum membalas MoU membabitkan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang, yang dijangka dibalas sebelum Persidangan Parlimen bulan depan.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dilaporkan berkata kerajaan masih belum menerima maklum balas daripada pembangkang berhubung MoU berkenaan.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata PN akan berbincang dan meneliti draf MoU itu bulan ini, sebelum memberi maklum balas kepada Kerajaan Perpaduan.
“Kita pun agak pelik sikit sebab MoU ini untuk peruntukan wajib kepada pembangkang. Pembangkang pun Ahli Parlimen.
“Disebut dalam MoU ini mengenai tujuh prinsip kehidupan awam, tuturan kebencian, hasutan kebencian mengenai isu bangsa, agama dan Raja-Raja. Jadi isu 3R pun masuk dalam MoU ini untuk nak beri peruntukan,” katanya.