‘PN hanya terima jika syarat tak langgar undang-undang, Perlembagaan’


Perikatan Nasional (PN) hanya akan menerima syarat ditetapkan dalam draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sekiranya ia tidak bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

(Berita Harian) – Sambil melahirkan rasa kecewa terhadap tujuh syarat itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN juga akan mengkaji semua syarat berkenaan sebelum membuat keputusan.

“Ketujuh-tujuh syarat itu perlu kita kaji dengan teliti kerana sebelum ini Perdana Menteri dalam sidang Parlimen mengatakan tiada syarat (ahli Parlimen pembangkang mendapat peruntukan) dan hanya perbincangan sahaja yang diperlukan.

“Kini terdapat tujuh syarat yang dinyatakan dalam MoU. PN hanya menerima sebarang syarat yang tidak bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tuan Ibrahim bagaimanapun enggan memberikan butiran lanjut mengenai tujuh syarat itu.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut memaklumkan kerajaan perlu mengagihkan peruntukan kepada negeri seperti Kedah, Kelantan, Perak dan Selangor tanpa mengenakan sebarang syarat.

“Kita tidak mahu wujudkan prosiding yang mengikat pada masa hadapan. Apa yang penting ialah reformasi institusi Parlimen perlu dilaksanakan dan disegerakan,” katanya.

Sebelum ini, PN mendedahkan beberapa syarat yang didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan yang perlu dipenuhi Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata tujuh syarat digariskan di bawah draf MoU Mengenai Peruntukan Pembangkang diterima beliau pada 6 Ogos lalu.

Takiyuddin berkata, antara yang menjadi syarat adalah pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15 dan perkara berkaitan bangsa, agama dan Raja-Raja (3R).



Comments
Loading...