SG4 terbuka untuk semua negeri, babit 5 kluster perniagaan – Takiyuddin


Syarikat State Goverment (SG4) Group Sdn Bhd yang ditubuhkan empat negeri ditadbir pembangkang terbuka kepada mana-mana negeri yang berminat untuk menyertainya.

(Berita Harian) – Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, turut memaklumkan syarikat berkenaan juga tidak mengikat mana-mana negeri dan mereka bebas untuk membuat keputusan sama ada kekal atau sebaliknya dalam syarikat berkenaan.

“Perlu faham SG4 Sdn Bhd ini adalah satu syarikat yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Bila tubuh syarikat sudah tentu ada pemegang saham dan mereka boleh keluar bila-bila masa sahaja daripada syarikat berkenaan sekiranya tidak mahu terus kekal.

“Malah, ia juga terbuka sekiranya mana-mana negeri lain yang turut berminat untuk menyertai syarikat berkenaan. Setakat ini hanya empat negeri yang berada dalam syarikat berkenaan.

“Andai kata sekiranya ada dalam kalangan empat negeri ini bertukar parti sekalipun namun sekiranya mereka masih mahu kekal dengan SG4, ia tidak ada masalah,” katanya pada sidang media Kota Bharu Half Marathon (KBHM), di sini.

Mengulas lanjut katanya, keuntungan syarikat terbabit akan diberikan sama rata.

Untung bahagi sama rata, lima kluster perniagaan

“Agihan keuntungan itu membabitkan perniagaan baru dan sedia ada membabitkan lima kluster perniagaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, empat negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menubuhkan sebuah syarikat bagi membolehkan hasil yang diperoleh negeri berkenaan diagihkan secara saksama.

Ketua Panel Penasihat State Government 4 (SG4), Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata syarikat yang dinamakan SG4 Group Sdn Bhd itu akan memberi fokus kepada lima kluster ekonomi, dengan setiap negeri mempunyai pegangan ekuiti 25 peratus.

Beliau berkata, kluster berkenaan adalah infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan industri; pertanian dan sekuriti makanan; pendidikan dan modal insan serta sumber pendapatan baharu.

Susulan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan penubuhan syarikat SG4 Group Sdn Bhd yang dimiliki empat negeri pembangkang adalah bersifat politik.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan apa akan terjadi kepada syarikat terbabit sekiranya pentadbiran empat negeri terbabit iaitu Kelantan; Terengganu; Kedah dan Perlis bertukar tangan pada pilihan raya umum akan datang.



Comments
Loading...