Pendapatan kerajaan negeri tidak digabung dengan SG4 Group Sdn Bhd


Hasil pendapatan empat kerajaan negeri iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu tidak akan digabungkan dalam syarikat SG4 Group Sdn Bhd.

(Harian Metro) – Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pendapatan yang diperoleh di empat negeri itu adalah berbeza dengan hasil syarikat berkenaan.

Beliau berkata, pembahagian pendapatan sebanyak 25 peratus daripada pemilikan saham dalam syarikat itu yang ditetapkan sebelum ini juga tidak membabitkan perolehan negeri berkenaan.

“Kita belum ‘decide’ lagi sebenarnya. Itu pembahagian dari segi untung syarikat bukan hasil pada negeri.

“Hasil negeri tertakluk pada negeri masing-masing, hasil di Terengganu, Terengganu lah menikmati hasil.

“Itu kena beza operasi syarikat dengan operasi apa yang diterima oleh negeri, (ia) berbeza, jadi saya rasa ramai orang keliru (dengan) bayangkan kita bahagi-bahagikan hasil di Kedah (dengan) negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada konvoi motosikal Kembara Terengganu Sejahtera sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, penubuhan syarikat itu bukan bertujuan mengejar keuntungan sebaliknya mengukuhkan kerjasama di antara empat negeri berkenaan.

“Saya rasa yang paling penting bukan keuntungan (syarikat) itu yang dikejar (sebaliknya) yang kita mahu ialah ‘consolidation of bargain power’ dalam menjalankan apa-apa urusan,” katanya.

Mengulas mengenai masa depan SG4 seandainya berlaku perubahan pimpinan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Ahmad Samsuri berkata, empat negeri akan membuktikan potensi itu terlebih dulu.

“Kita tengok, itu cerita panjang lagi, jadi kita ada tempoh dua tahun setengah (hingga) tiga tahun ini, untuk membuktikannya dulu, cerita pilihan raya itu, kita tengok selepas pilihan raya,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Panel Penasihat State Government 4 (SG4) Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, empat kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menubuhkan sebuah syarikat bagi membolehkan hasil yang diperoleh negeri berkenaan diagihkan secara saksama.

Syarikat berkenaan yang dinamakan SG4 Group Sdn Bhd, akan memberi fokus kepada lima kluster ekonomi, dengan setiap negeri mempunyai pegangan ekuiti 25 peratus.



Comments
Loading...