Hilangnya seorang pendidik politik


(Harakah Daily) – “Penganalisis politik tersohor tanah air, Allahyarham Raja Petra Raja Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai RPK adalah seorang penyokong kuat PAS yang baru sahaja meninggal dunia di United Kingdom (UK) malam tadi (9 September).”

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuk dalam kenyataannya berkata, ketika zaman mudanya pada akhir 1970-an, RPK tinggal di Terengganu dan pada ketika itu, beliau adalah salah seorang penggerak sebuah masjid di pinggir bandar Kuala Terengganu.

“Beliau adalah salah seorang penyebar terawal kaset-kaset Tuan Guru Abdul Hadi Awang khususnya di Lembah Klang.

“Malah, beliau juga antara yang berperanan membawa Tuan Guru Abdul Hadi berkuliah secara bulanan di Masjid Mujahidin Damansara.

“Pada awal 1980-an RPK telah dijemput Allah menunaikan fardu haji. Yang istimewanya, beliau pergi menunaikan haji bersama-sama rombongan Ustaz Fadzil Mohd Noor yang ketika itu antara pimpinan utama PAS.

“Ketika Harakah mula menerbitkan seksyen berbahasa Inggeris, RPK merupakan salah seorang penulis tetap seksyen tersebut.

“Ketika era reformasi, beliau telah diminta mengetuai satu taskforce antarabangsa kempen membebas (Dato’ Seri) Anwar Ibrahim,” ujar  beliau dalam media sosial miliknya, hari ini.

Dalam pada itu Zuhdi berkata, dalam  pemerhatiannya, semenjak daripada itu tulisan-tulisan RPK mula mendapat perhatian oleh semua pihak yang mahu mendapatkan gambaran sebenar kemelut politik yang berlaku di Malaysia.

Tambahnya, tulisan dan komentar RPK  tajam dan tepat, sehingga seringkali dilihat sebagai ancaman terhadap pihak-pihak tertentu.

Oleh sebab itu jelasnya, RPK beberapa kali ditahan dan juga menghadapi banyak kali saman sivil daripada pihak-pihak yang terkesan oleh tulisan beliau.

“Meskipun tulisan dan komentar beliau ada yang tidak disukai, tidak dapat dinafikan tulisan dan komentar beliau sebenarnya menjadi sumber pendidikan politik kepada semua terutama generasi muda.

“Saya sendiri banyak mengetahui berita dan peristiwa yang tidak diketahui umum, melainkan selepas didedahkan oleh beliau.

“Beliau mengolah tulisan dan komentarnya dalam bentuk mendidik masyarakat untukmemahami politik hakiki, bukannya politik sensasi,” katanya lagi..

Sehubungan itu Zuhdi menyatakan, hampir setiap hari beliau mendengar komentarnya mengenai isu-isu politik Malaysia melalui channel YouTube beliau yang dilanggan, setelah laman sesawang MalaysiaToday disekat capaiannya oleh Kerajaan Malaysia.

“Saya tidaklah mengenali rapat RPK, kerana jurang umur saya dan beliau hampir satu generasi. Bagaimanapun, saya kenal beliau dan beliau juga mengenali saya. Di Malaysia, dulu beberapa saya kali pernah bertemu dengan beliau.

“Setelah beliau membawa diri ke United Kingdom (UK), pernah juga bertemu beliau di negara tertentu disebabkan beliau tidak boleh masuk ke Malaysia.

“Kali terakhir bertemu beliau secara fizikal adalah beberapa tahun lepas, saya bersama teman-teman berkunjung ke rumah beliau di Manchester, UK,” jelasnya.

Menurut  Zuhdi lagi, beliau juga adalah pengikut setia tulisan-tulisan RPK di Malaysia Today, sebelum laman sesawangnya disekat capaiannya selepas Pakatan Harapan (PH) menang pada tahun 2018.

“Malah antara tahun 2017 hingga 2018, saya dan seorang teman dari Terengganu menulis secara tetap satu ruang khusus di Malaysia-Today, yang ketika itu ‘view’ pembaca Malaysia Today mencapai tidak kurang 80,000 bila diterbitkan sesuatu isu. Namun, setelah laman sesawang itu disekat, beliau mula bersiaran di YouTube, FB dan TikTok.

“RPK yang saya kenali, adalah seorang yang jujur dan berterus terang, tidak berpura-pura dan menyembunyikan hakikat sebenar. Tulisan-tulisan beliau berdasarkan analisis beliau tentang politik tanah air merentasi zaman.

“Diyakini beliau menerima sumber-sumber dari pelbagai pihak termasuklah maklumat-maklumat sulit. Terbukti maklumat-maklumat sulit yang beliau dedahkan, banyak yang kemudiannya diperakui oleh pihak-pihak berkaitan,” ujarnya.

Zuhdi menzahirkan bahawa dirinya pasti menjadi seorang yang selepas ini merasai rindu dengan tulisan dan komentar RPK, setelah RPK dijemput Allah SWT kembali ke pangkuanNya.

“Saya dimaklumkan dahulu RPK akan mula menulis sekitar jam 4  pagi waktu UK. Bila beliau mula menyampaikan komentar melalui video, saya jangka waktu bersiarannya juga pada sebelah pagi.

“Mulai hari ini, tiada lagi tulisan dan komentar beliau dapat dibaca dan didengar.

“Semoga Allah SWT memberi ganjaran besar kepada usaha beliau, dikurniakan rahmah dan maghfirah. Amin ya Rabbal Alamin,” katanya.

Source: Harakah Daily



Comments
Loading...