Ulasan | Belasungkawa Raja Petra Kamaruddin


By Hasmi Hashim

Pet, benar, Pet, terkadang politik itu umpama fiksi.

Suatu malam kau mengigau. Ketika tertidur di sofa panjang dalam sebuah bilik yang masih tersisa rasa mewahnya. Di pejabat Berita Keadilan, Bangsar. “Ah!” jeritmu kuat. Isteri kau, Marina pun menerpa. Mengejutkanmu. Pantas engkau terjaga, dan menjerkah, “sofa ini berhantu!”

Aku tersenyum. Hampir ketawa.

Aku sudah tahu, sofa itu berpenunggu, Pet. Kau, baru sekali dirasuk sampai mengigau, melawan hantu dalam tidurmu. Aku beberapa kali sudah begitu—dan, keseorangan. Di atas sofa panjang itu aku selalu melepaskan diri untuk tidur. Di sudut lain ada sebuah lagi sofa yang agak pendek, dua tempat duduk. Di atasnya, Pak Dino SS meninggal seorang diri. Pada sebuah petang yang mendekati Asar. Ketika itu, komputernya masih menyala dengan sebuah tulisan di skrin yang separuh siap. Dia seperti ingin berehat. Kemudian malaikat datang. Mengambil nyawa.

Tapikan Pet, kau ada pilihan. Aku, tiada. Aku tidak mahu balik ke bilik sewa di Bangsar Utama—bilik yang berhabuk, panas, sempit.

Bangsar Utama tidak selamat lagi. Terutama selepas “Operasi Omega,” 2001. Sepuluh pimpinan Keadilan dan aktivis Reformasi ditangkap. Salah seorangnya adalah kau, Pet. Kemudian daripada itu, bagi meneruskan perlawanan, aku juga yang menyediakan grafik poskad dengan foto sepuluh tahanan agar dibebaskan; ISA dihapuskan.

Seperti ramai isteri orang-orang lain, isterimu, Marina bukan seorang pemidato. Dia tidak boleh bercakap petah di depan khalayak. Dalam sebuah majlis anti-ISA, Marina cuba bercerita tentang kau. Tidak lama selepas dia memulakan ucapan, suaranya tersekat-sekat. Air matanya cucur. Dia tidak tahan lagi. Ucapan pun terhenti. Orang terdiam sejenak. Sebelum ada yang bertepuk tangan. Ada juga yang melaungkan, “Allahuakhbar!” Kita semua melihat dan kenal bayang-bayang kezaliman rejim PM Dr Mahathir Mohamad, dari sana.

Continue reading

Source: Malaysia Kini



Comments
Loading...