Gelanggang PRK Mahkota dibuka esok


Gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan dibuka secara rasmi esok dengan bermulanya proses penamaan calon bagi PRK itu di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di Kluang.

(Mkini) – Setiap bakal calon diberi tempoh sejam bermula 9 hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan sebelum senarai mereka yang layak bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azurawati Wahid.

Penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu dan pihak yang bertanding mempunyai 14 hari tempoh berkempen, bermula daripada pengisytiharan calon bertanding hingga 11.59 malam 27 Sept ini.

DUN Mahkota merupakan satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Kluang.

Setakat ini, Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai wakil Kerajaan Perpaduan pada PRK itu manakala Perikatan Nasional (PN) memilih bekas pemain bola sepak Johor FA Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Read more here



Comments
Loading...