21 bulan 20 hari, PMX melepasi sela masa pemerintahan Tun M, PM8, PM9


Tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencecah 21 bulan 20 hari pada hari ini, mengatasi sela masa tiga kerajaan terdahulu yang dibentuk sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

(BH) – Pemerhati politik menyifatkan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pada 24 November 2022 terus utuh dalam melaksanakan reformasi dan pembaharuan dengan dukungan parti utama di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Fakulti Ekonomi Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata kestabilan politik berjaya diwujudkan walaupun tanpa menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang seperti kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, usaha reformasi dan pembaharuan lebih jelas dilakukan secara berterusan walaupun dalam kritikan hebat pembangkang.

“Walaupun (dinamakan) Kerajaan Perpaduan, pembaharuan dan reformasi dilaksanakan Perdana Menteri tidak ditentang oleh UMNO atau rakan komponen lain (dalam kerajaan).

“Maksudnya, kalau kepemimpinan menjiwai dan ada keaslian, tidak ada masalah untuk mengekalkan kestabilan politik, membangkitkan semula ekonomi, tidak menjadi boneka kepada mana-mana blok antarabangsa atau bergantung kepada MoU untuk melakukan pembaharuan,” katanya kepada BH.

“Ciri ketahanan dimiliki Kerajaan Perpaduan khususnya Perdana Menteri secara tidak langsung mencetuskan kestabilan politik di negara ini.

“Akhirnya, kita melihat kemakmuran ekonomi diwujudkan semula, pelbagai masalah sosial ditangani seperti isu Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) dan isu 3R.

 

Terima sokongan padu

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali, berpandangan dukungan lebih dua pertiga Ahli Parlimen terhadap Perdana Menteri memainkan peranan penting mengukuhkan pentadbiran.

Jelasnya, bukan sahaja di Semenanjung, parti politik di Sabah dan Sarawak meletakkan kepercayaan tinggi kepada Perdana Menteri sekali gus memastikan kestabilan politik.

“Tidak seperti era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pasca 2018, walaupun ada majoriti, dilihat agak goyah kerana ada keraguan daripada Ahli Parlimen mereka sendiri yang akhirnya kerajaan itu tumbang dan tertubuhnya kerajaan baharu selepas beliau meletak jawatan.

“Sekarang, kestabilan ini dari sudut sokongan bukan hanya parti seperti UMNO dan Barisan Nasional (BN) malah dari Sabah dan Sarawak dilihat amat utuh sekali di mana pemimpin dilihat amat menghormati Perdana Menteri dan menghargai kerjasama antara mereka,” katanya.

Beliau berkata, prestasi Perdana Menteri turut mengubah Malaysia untuk berada pada landasan terbaik dari segi pelaburan, perkembangan ekonomi, pertumbuhan eksport, pengukuhan mata wang.

Malah, katanya, peranan Anwar sendiri di peringkat antarabangsa, menonjolkan ketokohannya.

“Semua pihak bergabung termasuk dalam UMNO melihat Anwar sebagai Perdana Menteri yang sangat berkebolehan,” katanya.

Pasca PRU14 pada 2018, menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan yang buat kali pertama mentadbir pimpinan Dr Mahathir hanya bertahan 21 bulan 14 hari sebelum beliau meletakkan jawatan.

Susulan itu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020 dan bertahan 17 bulan 20 hari.

Kerajaan selepas itu diterajui pula Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan yang mengangkat sumpah jawatan pada 21 Ogos 2021 sehingga Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022, iaitu 13 bulan 20 hari.

 



Comments
Loading...