‘Kandungan MoU ditawarkan kerajaan kepada pembangkang tak adil’ – Hadi Awang


PAS menolak memorandum persefahaman (MoU) ditawarkan kerajaan MADANI selepas mendakwa ia tidak mengikut sifat tabii sebenar dalam amalan demokrasi yang mengikut ajaran Islam.

(BH) – Mengemukakan alasan penolakan itu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata kandungan berupa syarat yang digariskan dalam perjanjian itu dilihat sebagai tidak adil, selain ada unsur pembohongan mengikut ajaran Islam.

“Ia disebabkan Islam mewajibkan adil kepada semua dan tidak berbohong apabila mengadakan perjanjian,” katanya dalam ucapan penangguhan Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, petang semalam.

Abdul Hadi turut menyentuh mengenai pembatalan royalti oleh Kerajaan Persekutuan terhadap Terengganu, manakala perjanjian royalti di Kelantan pula, dimansuhkan.

“Kerajaan Terengganu dibatalkan perjanjian royaltinya, manakala kerajaan Kelantan pula dinasakhkan (dimansuhkan) perjanjian royaltinya. Selain itu, Kedah dan Perlis hanya ada minyak gamat saja,” katanya.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, Kerajaan Pusat juga sepatutnya menguji kemampuan empat kerajaan negeri pembangkang dengan memberi peluang kepada mereka mengurus dan mentadbir sendiri.

Beliau berkata, permintaan itu dibuat secara baik dan damai mengambil kira konsep federalisme dan amalan demokrasi sebenar yang adil.

Ahli Parlimen Marang itu juga berharap tiada unsur pembohongan dan pengkhianatan terhadap perjanjian dibuat, dengan menggembleng sama semangat cintakan negara, selain menggarap nilai perpaduan sebenar, walaupun berbeza ideologi dan agama.

Katanya, apa yang diperkatakan ini hanya sedikit daripada banyak lagi alasan mengapa PAS tidak menyertai Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Banyak lagi dalil yang nyata mengapa PAS tidak menyertai Kerajaan Perpaduan yang hakikatnya tidak berisi perpaduan dan kerajaan MADANI yang masih mentah amalannya serta tidak mempunyai ramuan yang nyata halalnya,” katanya.



Comments
Loading...