Saifuddin lepas jawatan Setiausaha Agung PKR, Fuziah ambil alih


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dilantik Setiausaha Agung PKR baharu berkuat kuasa serta-merta.

(BH) – Beliau menggantikan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Menteri Dalam Negeri.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Saifuddin melepaskan jawatan itu bagi menumpukan usaha beliau sebagai Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), anggota Biro Politik PKR dan ahli Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, perkara itu antara penyusunan semula beberapa jawatan penting yang diputuskan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hari ini, dalam usaha memantapkan gerak kerja parti.

“Pada masa sama, jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang yang sebelum ini disandang Fuziah akan digantikan oleh Rizal Jamin.

“Untuk negeri Perak pula, Mohamad Hairul Amir Sabri dilantik sebagai Pengerusi MPN Perak bagi menggantikan Chang Lih Kang, manakala Lih Kang terus menjawat Naib Presiden PKR.

“Mohd Azlan Helmi pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MPN Perak dan semua lantikan ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Selain itu, Nik Nazmi berkata MPP PKR turut bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan dengan dianggotai Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar, Fuziah Salleh, Bendahari Agung William Leong, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Munim dan Timbalan Ketua Wanita, Juwairiya Zulkifli, manakala Saifuddin dilantik sebagai penasihat.



Comments
Loading...