Tak betul DAP jadi alat Umno tarik undi Cina di Mahkota – Onn Hafiz


Dakwaan kononnya DAP hanya dijadikan alat UMNO untuk menarik sokongan pengundi Cina dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota adalah tidak berasas.

(Suara TV) – Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, dakwaan seperti itu tidak wajar dan Johor mempunyai cara serta pendekatan sendiri dalam berpolitik.

Justeru, beliau yang juga Menteri Besar Johor mengingatkan, lawan politik agar menghormati keharmonian bangsa Johor.

Pimpinan pembangkang tidak wajar berkempen secara menabur hasutan dan tohmahan, tegas beliau.

Kata Onn Hafiz, politik hasut menghasut tidak sesuai di bumi Johor.

“Politik sebegitu tak sesuai di bumi Johor, seperti yang saya sebut kepada rakan-rakan media tempoh hari (kempen cara Johor).

“Dekat sini sama-samalah kita jaga adab, jaga tertib dan keharmonian banga Johor.

“Kita hargai semua, jangan kita terikut-ikut dengan tohmahan dan hasutan, itu rayuan saya kepada Bangsa Johor, terutamanya yang berada di kawasan Mahkota,” seru beliau yang sebelum ini mengingatkan semua pihak terbabit dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk berkempen ‘Cara Johor’ yang mengutamakan serta menitikberatkan aspek keharmonian.

Sebelum ini beliau juga berkata, perkara berkaitan 3R (kaum, agama dan raja) seharusnya tidak disentuh langsung oleh mana-mana pihak terutama dalam tempoh berkempen kerana keamanan dan keharmonian perlu dipelihara setiap masa.

Onn Hafiz berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin menyeru agar masyarakat Tionghua di DUN Mahkota menolak parti DAP yang dikatakan sekadar “alat” Umno untuk mendapatkan undi daripada mereka.

Beliau berkata demikian ketika sesi ceramah pada hari pertama kempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Tengah pada malam Sabtu.

Menurut Azman, kerajaan hari ini berbentuk “silo” kerana Kerajaan Perpaduan di Kerajaan Persekutuan manakala di Johor pula hanya melibatkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) semata-mata tanpa campur tangan parti komponen lain.

Katanya, masyarakat Melayu juga ditipu habis-habisan bahawa tidak berlaku “perkahwinan” antara Umno dan DAP.

“Perkara ini supaya orang Melayu yang marah kepada DAP terus menyokong Umno tetapi sebenarnya harini penamaan calon saya tengok gambar ada pemimpin DAP yang turun ramai sebab komposisi pengundi 55 peratus Melayu 45 peratus bukan Melayu.

“Jadi Umno memerlukan jentera-jentera DAP untuk kempen kepada pengundi-pengundi Cina supaya mengundi Umno- BN tapi orang-orang Tionghua di DUN Mahkota ini cerdik sudah pun sedar penipuan dibuat oleh pemimpin DAP,” katanya.

Tambahnya, DAP telah berpaling arah yang dahulunya memperjuangkan hak asasi manusia dan reformasi tetapi hari ini berlaku perkara sebaliknya.

Justeru, beliau berkata, masyarakat Cina khususnya perlu menghantar isyarat jelas kepada DAP mengenai penolakan kaum itu di DUN Mahkota.

“Jadi orang Cina kena hantar isyarat, kali ini pilihan raya di DUN Mahkota kena hantar isyarat yang jelas kepada pemimpin DAP.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) DAP menang majoriti. Ekonomi tak bagus, penipu dan janji tidak ditunaikan,” katanya.



Comments
Loading...